Lelaki & pengawal Masjid Selat Melaka selesai secara baik, laporan polis ditarik balik | The Reporter

Lelaki & pengawal Masjid Selat Melaka selesai secara baik, laporan polis ditarik balik

Lelaki dan pengawal keselamatan di Masjid Selat Melaka dilihat bertelingkah di kawasan parkir sebelum insiden berjaya dileraikan orang awam.
Rakaman memaparkan detik tegang antara seorang lelaki dan pengawal keselamatan di Masjid Selat Melaka sebelum kejadian itu diselesaikan secara baik. | Sumber gambar: Video tular di media sosial

Lelaki yang terlibat dalam pergaduhan dengan pengawal keselamatan di pekarangan Masjid Selat Melaka semalam dilaporkan telah berbaik dan menarik semula laporan polis selepas perselisihan itu diselesaikan secara damai.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kedua-dua pihak bersetuju menamatkan pertelingkahan tersebut selepas difahamkan ia berpunca daripada salah faham berhubung etika pemakaian di kawasan masjid.

Punca teguran aurat

Menurut beliau, insiden berlaku ketika pasangan dari Kuala Lumpur itu mahu menunaikan solat zuhur namun ditahan di pintu masuk kerana wanita terbabit tidak memakai tudung.

“Pengawal keselamatan menegur pasangan itu kerana wanita tersebut tidak memakai tudung dan memaklumkan bahawa ia perlu dipakai jika ingin memasuki kawasan masjid. Namun, pengadu mendakwa isterinya sudah menutup kepala menggunakan sweater,” katanya.

Baca juga:

Jelasnya lagi, selepas pengawal beredar untuk memaklumkan perkara itu kepada penyelianya, lelaki berusia 43 tahun itu keluar dari kereta dan menghentak bumbung kenderaannya sambil menjerit, “aku hendak sembahyang ni.”

Provokasi itu menyebabkan pertengkaran mulut dan seterusnya berlaku insiden tumbuk-menumbuk di pintu masuk masjid sebelum dileraikan oleh orang awam.

Teguran adalah amalan biasa

“Pegawai penyiasat yang tiba di lokasi mendapati adalah menjadi tugas pengawal keselamatan untuk menegur dan memastikan pengunjung mematuhi etika berpakaian serta menutup aurat ketika berada di kawasan masjid,” jelas Christopher.

Beliau turut mengesahkan kes kini dianggap selesai selepas pengadu menarik laporan polis yang dibuat pada pukul 4.13 petang semalam.

Sumber: Kosmo! Online

Related Posts