Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan partinya memilih untuk tidak menamakan calon perdana menteri buat masa ini atas faktor keselamatan dan integriti calon. Katanya, langkah itu bagi mengelak sebarang cubaan sabotaj atau khianat terhadap individu yang bakal dicalonkan.
Menurut Hadi, pengalaman menunjukkan bahawa calon yang terlalu awal diumumkan berisiko menjadi sasaran pihak tertentu.
“Kalau orang tahu dia calon perdana menteri, disogoknya jongkong emas, letak jongkong emas dalam kereta, letak dadah dan sebagainya, akhirnya tak boleh bertanding,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Rabu, 15 Oktober 2025.
Baca juga:
- PAS enggan umum calon PM, bimbang diletak jongkong emas & dadah dalam kereta – Hadi Awang
- Wan Ahmad Fayshal digantung keahlian Bersatu
- PAS Selangor tegaskan pusat judi takkan ditutup serta-merta jika berjaya kuasai negeri
Beliau menegaskan keutamaan PAS ketika ini ialah memastikan kemenangan dalam pilihan raya sebelum menamakan individu berkenaan.
“Yang penting, kami memilih pemimpin berintegriti, bukan tentukan orang dulu tapi pastikan dia menang pilihan raya,” katanya.
Berbeza pendirian dengan Bersatu
Walaupun Bersatu telah menamakan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai calon perdana menteri bagi Perikatan Nasional (PN), PAS yang memiliki jumlah kerusi terbanyak dalam gabungan itu kekal berpendirian untuk menangguhkan pengumuman.
Spekulasi turut timbul bahawa PAS mungkin lebih cenderung menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang juga timbalan presiden Bersatu. Namun, Hadi sebelum ini pernah menegaskan bahawa mereka yang berumur lebih 70 tahun tidak sepatutnya diangkat sebagai perdana menteri.
Sumber: MalaysiaKini