Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan insiden tragis pembunuhan seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Selangor sebagai bukti jelas kelemahan serius dalam sistem pendidikan serta kegagalan kepimpinan Kerajaan MADANI menjamin keselamatan murid di sekolah.
Beliau berkata, sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk membina ilmu dan masa depan, namun tragedi itu menunjukkan wujud kelemahan struktur dan dasar yang membiarkan pelajar terdedah kepada bahaya.
“Setiap kehilangan nyawa di sekolah menandakan kegagalan dasar dan kepimpinan. Ia bukan sekadar kelemahan kementerian, tetapi kegagalan moral seluruh kerajaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Muhyiddin turut menegaskan bahawa Menteri Pendidikan perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan tidak hanya menunjukkan simpati, memandangkan banyak kes buli dan keganasan di sekolah masih tidak ditangani secara tegas dan menyeluruh.
Baca juga:
- Kematian Mustaqqeem Mansoor disahkan akibat hipotermia, dua malim gunung ditahan
- Larangan telefon bimbit pelajar bawah 16 tahun sedang dikaji – Anwar
- ‘Saya & Timbalan mengambil tanggungjawab ini sepenuhnya’ – Fadhlina Sidek
Beliau mencadangkan supaya sebuah Jawatankuasa Siasatan Bebas ditubuhkan segera bagi menilai punca sebenar kejadian serta kelemahan dasar keselamatan sedia ada. Katanya, peruntukan khas dalam Belanjawan 2026 juga perlu disediakan bagi memperkukuh pemantauan keselamatan sekolah, termasuk pemasangan CCTV di lokasi kritikal, rondaan berkala dan kerjasama rapat dengan pihak polis.
Muhyiddin turut mencadangkan pelaksanaan saringan psikososial bagi mengenal pasti pelajar berisiko serta program intervensi awal bagi mengelakkan kejadian keganasan berulang. Latihan pengurusan krisis untuk guru dan kakitangan sekolah juga perlu diwajibkan agar tindakan pantas dapat diambil ketika berlaku ancaman.
Beliau menegaskan bahawa usaha memastikan keselamatan pelajar tidak boleh dipikul satu kementerian semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai agensi kerajaan.
Dalam nada tegas, Muhyiddin mengingatkan Kerajaan MADANI supaya menghentikan retorik dan segera bertindak dengan langkah konkrit bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan anak-anak di sekolah.