Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Akmal Saleh, menggesa agar kuasa merotan dikembalikan kepada guru sebagai langkah mendidik pelajar selepas tular kes jenayah seksual membabitkan pelajar sekolah di Melaka.
Menurutnya, ketiadaan rasa takut dan hormat terhadap guru menjadi antara punca pelajar semakin berani melakukan kesalahan serius termasuk gangguan seksual. Beliau menegaskan, merotan bukan bertujuan mencederakan, sebaliknya sebagai pengajaran supaya pelajar tidak mengulangi kesilapan.
“Jika tiada rasa takut, maka susah nak timbul rasa hormat. Merotan bukan mahu membunuh, tetapi untuk mengingatkan apa kesalahan kita supaya menjadi manusia beriman di masa mendatang,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Baca juga:
- ‘4 pelajar terbabit salah laku seksual dibuang sekolah serta-merta’ – KP Pendidikan
- Akmal Saleh gesa kembalikan kuasa rotan kepada guru
- Penganjur mohon maaf, jelaskan isu bendera Israel hanya gimik persembahan
Kenyataan itu dikongsikan selepas laporan mengenai empat pelajar tingkatan lima di Melaka direman kerana disyaki merogol seorang pelajar perempuan tingkatan tiga dalam sebuah kelas. Kes tersebut menimbulkan kebimbangan masyarakat tentang tahap disiplin dan nilai moral di sekolah.
Akmal turut menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menilai semula dasar sedia ada berhubung disiplin pelajar agar guru mempunyai ruang tegas dalam mendidik tanpa bimbang dikenakan tindakan undang-undang.
Katanya, langkah itu perlu supaya institusi sekolah kembali dihormati dan pelajar sedar akan akibat perbuatan mereka.
Sumber: Facebook Akmal Saleh