Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan menempelak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu selepas pemimpin itu memberi reaksi dingin terhadap perkembangan baharu dalam rundingan damai dengan Hamas.
Menurut laporan Axios, Trump menghubungi Netanyahu pada Jumaat lalu selepas Hamas mengumumkan kesediaan membebaskan tebusan Israel dengan syarat tertentu di lapangan. Namun, Netanyahu tidak menganggap pengumuman itu sebagai sesuatu yang patut diraikan.
Seorang pegawai AS dipetik berkata: “Bibi (Netanyahu) memberitahu Trump ini bukan sesuatu yang wajar diraikan, malah tidak membawa makna besar.”
Baca juga:
- Badak air terkenal di AS mati selepas tertelan topi dilambung kanak-kanak
- ‘Penduduk Hong Kong mungkin lenyap jika kadar kelahiran tak berubah’ – Elon Musk
- Prabowo mohon maaf kepada Malaysia, Singapura susulan jerebu rentas sempadan
Reaksi dingin Netanyahu membuatkan Trump naik angin dan terus menempelaknya. “Saya tidak tahu kenapa awak selalu terlalu negatif. Ini kemenangan, terimalah,” Trump dipetik sebagai berkata.
Dalam temu bual bersama Axios pada Sabtu, Trump berkata Netanyahu akhirnya menerima pandangannya.
“Dia okey dengan itu. Dia tiada pilihan, dengan saya dia mesti setuju,” katanya.
Trump turut memuat naik video dari Oval Office pada malam Jumaat, menyifatkan perkembangan itu sebagai detik bersejarah.
“Hari ini sangat istimewa, mungkin belum pernah berlaku sebelum ini. Semua pihak bersatu mahukan perang ini berakhir dan damai di Timur Tengah tercapai. Kita kini semakin hampir merealisasikan impian itu,” kata Trump.








