“Saya bukan hero. Saya hanya lakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh semua orang, berdiri menentang genosid,” tegas aktivis alam sekitar Greta Thunberg sebaik dibebaskan daripada tahanan Israel, disambut sorakan ratusan penyokong di Athens.
Thunberg menegaskan dirinya hanyalah warganegara biasa yang melakukan “tanggungjawab minimum” untuk menentang ketidakadilan. Beliau merupakan antara 437 aktivis yang menyertai misi Global Sumud Flotilla bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum kapal mereka dipintas tentera laut Israel minggu lalu.
Dalam ucapannya, Thunberg mendakwa Israel sedang melaksanakan “genosid” dengan menghalang bantuan masuk ke Gaza, ketika 2.4 juta penduduknya berdepan kebuluran. Tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, katanya, malah memperlihatkan pengabaian kerajaan-kerajaan dunia yang terus berdiam diri.
Baca juga:
- Netanyahu kritik tindakan Ben-Gvir terhadap aktiviS GSF
- Kekeliruan nama sama di PIK, Pagi Sore Kemang Hijau perjelas situasi
- Disangka cucu, nenek tampar lelaki di kafe siber sebelum sedar tersilap orang
Didera dalam tahanan
Sepanjang ditahan, Thunberg mendakwa dirinya berdepan layanan tidak berperikemanusiaan, termasuk dikurung dalam sel yang dipenuhi pepijat, kekurangan makanan dan air, serta dipaksa mencium bendera Israel sebelum dibebaskan. Beberapa aktivis lain mendakwa melihat beliau dipukul dan ditarik rambut, walaupun dakwaan itu dinafikan keras oleh Kedutaan Israel sebagai “pembohongan sepenuhnya”.
Tahanan lain dari Switzerland dan Sepanyol turut membuat aduan serupa selepas tiba di negara masing-masing, mendakwa mereka dipukul, diikat, dikurung dalam sangkar dan dihina. Bagaimanapun, Israel mempertahankan tindakan mereka dengan menyatakan semua hak perundangan aktivis dipatuhi dan menegaskan hanya satu insiden keganasan berlaku apabila seorang aktivis menggigit petugas perubatan penjara.
Fokus kepada nasib rakyat Gaza
Bagi Thunberg, isu utama bukanlah penderitaan yang dialami dirinya, tetapi nasib jutaan penduduk Gaza yang terus hidup di bawah sekatan. Beliau menegaskan dunia tidak boleh terus berdiam diri melihat “sebuah bangsa dihapuskan di depan mata kita.”
Sumber: Metro UK








