'Jangan beri buaya makan, kerana selepas menelan Israel, ia akan memburu kamu pula' - Netanyahu | The Reporter

‘Jangan beri buaya makan, kerana selepas menelan Israel, ia akan memburu kamu pula’ – Netanyahu

Benjamin Netanyahu duduk di hadapan rak buku sambil bercakap dalam temubual rasmi, mengenakan sut gelap dengan tali leher merah.
Netanyahu beri amaran keras dalam temubual eksklusif, “Jangan beri buaya makan, kerana selepas menelan Israel, ia akan memburu kamu pula. | Kredit gambar: Euronews

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan Hamas perlu segera menerima pelan damai yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan membebaskan baki tebusan.

Dalam temubual eksklusif bersama Euronews, Netanyahu menekankan bahawa penyerahan kuasa, pelucutan senjata dan pembebasan tebusan adalah syarat mutlak bagi menamatkan perang. Beliau turut mengingatkan pemimpin antarabangsa supaya tidak berlembut dengan Hamas, yang disifatkannya sebagai ancaman kepada kestabilan global.

“Jangan beri buaya makan, kerana selepas menelan Israel, ia akan memburu kamu pula,” katanya, merujuk kepada bahaya yang menanti sekiranya dunia terus berkompromi dengan kumpulan itu.

Menurut Netanyahu, hanya penerimaan penuh tanpa syarat tambahan boleh membuka jalan kepada keamanan.

Isi utama pelan Trump-Netanyahu

Pelan yang diumumkan di Washington menetapkan Hamas perlu menyerahkan kuasa di Gaza, melepaskan semua tebusan dan melucutkan senjata. Sebagai balasan, Israel akan menghentikan operasi ketenteraan, berundur dari sebahagian wilayah, membebaskan ratusan tahanan Palestin serta membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula Gaza.

Netanyahu menegaskan Hamas tidak boleh memilih syarat tertentu sahaja.

“Jika pentadbiran awam di Gaza bebas daripada ideologi kebencian terhadap Israel, rantau ini berpeluang memiliki masa depan yang lebih aman,” katanya.

Baca juga:

Kritikan terhadap Eropah

Dalam wawancara itu, Netanyahu turut mengecam tindakan beberapa negara Eropah yang mengiktiraf Palestin. Beliau menyifatkan langkah itu sebagai ganjaran terbesar kepada Hamas selepas pembunuhan beramai-ramai Yahudi terburuk sejak Holocaust.

Katanya lagi, laporan korban di Gaza yang mencecah 67,000 orang seperti diumumkan pihak berkuasa kesihatan Hamas hanyalah propaganda yang mengelirukan dunia. Menurut Netanyahu, Eropah sepatutnya lebih tegas kerana Israel kini berjuang mempertahankan dunia bebas daripada ancaman keganasan.

Masa depan Gaza selepas Hamas

Netanyahu berkata, jika Hamas menolak pelan damai itu, Israel akan meneruskan tindakan ketenteraan dengan sokongan penuh Amerika Syarikat. Selepas Hamas disingkirkan, Gaza akan diletakkan di bawah pentadbiran awam antarabangsa yang diawasi Trump dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair.

Bagaimanapun, pelan itu tidak membuka laluan kepada penyatuan semula dengan Tebing Barat mahupun pembentukan negara Palestin pada masa depan. Hamas pula menegaskan mereka hanya akan membebaskan tebusan sekiranya Israel bersetuju dengan gencatan senjata kekal dan pengunduran penuh tentera, syarat yang ditolak Netanyahu.

Sumber: Euronews

Related Posts