Pengasas dan pemilik rangkaian restoran terkenal Mohd Chan, Datuk (Dr) Haji Muhammad Chan bin Abdullah dilaporkan telah kembali ke rahmatullah malam tadi pada usia 72 tahun di Hospital Sungai Buloh.
Menurut makluman rasmi, jenazah Allahyarham dijangka tiba di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail sekitar jam 8 pagi untuk urusan mandi dan kafan. Ziarah terakhir untuk ahli keluarga, sahabat handai serta kenalan akan diadakan antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.
Solat jenazah akan dilaksanakan selepas solat Zuhur, kira-kira jam 1.08 tengah hari di masjid berkenaan sebelum pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 2.
Baca juga:
- Jemaah haji wanita Malaysia meninggal dunia di Makkah
- Insiden Platform Sepat: PETRONAS siasat punca kejadian
- Kerajaan rancang wujudkan surau Jumaat selesa di Bukit Bintang
Berita pemergian Allahyarham turut dikongsikan oleh pelakon, Zulkifli Ismail.
Allahyarham dikenali sebagai tokoh usahawan berjaya dalam industri makanan tempatan, khususnya dengan rangkaian restoran Mohd Chan yang terkenal dengan hidangan bercirikan masakan Cina Muslim. Sumbangan beliau bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah turut memperkenalkan makanan halal berkonsepkan Cina Muslim kepada masyarakat.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah.








