Pelaksanaan Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dijangka memberi kesan besar kepada fiskal negara apabila kerajaan mampu menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, penjimatan itu terhasil kerana subsidi hanya disalurkan kepada kumpulan yang layak, manakala mereka yang tidak menepati kriteria perlu membayar harga pasaran sebenar.
“Yang penting, apabila harga minyak naik, mereka yang tidak layak akan membayar pada harga pasaran. Kerajaan tidak perlu lagi menanggung subsidi untuk golongan tersebut,” katanya, lapor Harian Metro.
Baca juga:
- Lelaki warga emas cedera dipercayai digigit buaya ketika menjala udang
- Jemaah haji wanita Malaysia meninggal dunia di Makkah
- Insiden Platform Sepat: PETRONAS siasat punca kejadian
Harga RM1.99 janji kerajaan, bukan jaminan kekal
Amir turut mengingatkan rakyat bahawa harga RON95 pada kadar RM1.99 bukanlah jaminan kekal selamanya. Bagaimanapun, katanya, tiada keperluan untuk semakan semula dalam masa terdekat kerana ia adalah janji kerajaan yang diumumkan sebelum ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan harga berkenaan akan berkuat kuasa 30 September bagi rakyat tempatan, manakala bukan warganegara dikenakan kadar RM2.60 seliter.
PADU tidak digunakan sepenuhnya
Mengulas mengenai mekanisme pelaksanaan, Amir menjelaskan bahawa Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) tidak digunakan sepenuhnya kerana kriteria program BUDI95 amat mudah.
“Kita hanya lihat sama ada seseorang itu warganegara, memiliki lesen memandu dan lesen tersebut sah. Itu sahaja. Jadi tidak perlu libatkan PADU sepenuhnya,” katanya.








