Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Komuniti Cina di Sabah dijangka menerima ruang lebih besar dalam pentadbiran negeri sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kembali membentuk kerajaan selepas pilihan raya nanti.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi isyarat jelas bahawa jawatan Timbalan Ketua Menteri akan diperuntukkan kepada wakil rakyat Cina, dengan syarat mereka berjaya dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau menghadiri majlis di Dewan Hakka, Kota Kinabalu pada malam 22 September lalu. Menurut laporan MalaysiaKini, Hajiji mengiktiraf peranan masyarakat Cina dalam pembangunan ekonomi serta kemajuan Sabah sejak sekian lama.
Baca juga:
- Hajiji janji lantik Timbalan Ketua Menteri Cina jika GRS menang PRN Sabah
- PAS keluarkan ‘Tong Drum’ untuk gegarkan PRU16
- DAP sedia terus bersama BN, tapi mahu kekal semua kerusi menang
Peranan komuniti dan penasihat pakar
Selain memberi janji politik, Hajiji turut menekankan bahawa pentadbirannya sudah lama memanfaatkan kepakaran masyarakat Cina. Katanya, beberapa tokoh daripada keturunan itu telah dilantik sebagai penasihat dalam sektor minyak dan gas, kewangan, pelaburan dan perundangan.
Antara yang menonjol ialah Tan Sri David Wong Dak Wah, bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, yang kini mengetuai Sabah Law Reform Advisory Council (SLRAC). Majlis itu ditugaskan menilai undang-undang lama dan mencadangkan reformasi agar pentadbiran negeri lebih adil, relevan dan selari dengan tuntutan semasa.
PRN wajib selewatnya Disember
Dalam masa sama, Hajiji mengesahkan Dewan Undangan Negeri Sabah akan dibubarkan lebih awal daripada tarikh tamat penggal pada 11 November. Walaupun beliau tidak menetapkan tarikh tepat, ini bermakna PRN perlu berlangsung selewat-lewatnya pada 7 Disember 2025.
Pertandingan dijangka sengit dengan kemungkinan GRS berdepan Barisan Nasional (BN), selain percaturan politik lain termasuk usaha Pakatan Harapan mewujudkan “pakatan cinta tiga segi”.