Umat Islam di seluruh dunia kehilangan seorang tokoh ulama berpengaruh apabila Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz bin Abdullah Al-Sheikh dilaporkan meninggal dunia pada 23 September 2025 pada usia 82 tahun.
Sheikh Abdulaziz yang dilantik sebagai Mufti Besar pada tahun 1999, turut memegang jawatan penting sebagai Pengerusi Majlis Ulama Senior Arab Saudi. Sepanjang lebih dua dekad, beliau dikenali sebagai rujukan utama dalam hal ehwal agama Islam, khususnya dalam soal fatwa dan bimbingan syariah.
Menurut pengumuman rasmi kerajaan Arab Saudi, solat jenazah Allahyarham dilaksanakan di Masjid Imam Turki bin Abdullah, Riyadh. Selain itu, solat jenazah ghaib turut diadakan di Masjidil Haram, Masjid Nabawi serta di seluruh masjid di Arab Saudi selepas solat Asar.
Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman turut menyampaikan ucapan takziah, mengiktiraf sumbangan besar Allahyarham terhadap dunia Islam.
Baca juga:
- Badak air terkenal di AS mati selepas tertelan topi dilambung kanak-kanak

- ‘Penduduk Hong Kong mungkin lenyap jika kadar kelahiran tak berubah’ – Elon Musk

- Prabowo mohon maaf kepada Malaysia, Singapura susulan jerebu rentas sempadan

Pemergian Sheikh Abdulaziz meninggalkan legasi ilmu dan kepimpinan yang mendalam, bukan sahaja kepada masyarakat Arab Saudi tetapi juga kepada umat Islam di seluruh dunia.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Saudi Gazette, Putera Mahkota Mohammed bin Salman menunaikan solat jenazah untuk Allahyarham Mufti Besar, Sheikh Abdulaziz Al Al-Sheikh di Masjid Imam Turki bin Abdullah, Riyadh.
Sumber: Arab News, Saudi Gazette








