Sabah cadang beri pendidikan percuma untuk anak negeri - Hajiji | The Reporter

Sabah cadang beri pendidikan percuma untuk anak negeri – Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, senyum sambil mengangkat ibu jari tanda sokongan.
Hajiji Noor cadang pendidikan percuma untuk anak negeri Sabah. | Kredit gambar: Utusan Malaysia

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kerajaan Negeri Sabah mengorak langkah besar dalam memastikan masa depan anak muda terjamin apabila mengumumkan rancangan pemberian pendidikan percuma kepada pelajar tempatan di institusi milik kerajaan negeri.

Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, inisiatif ini bakal dilaksanakan di institusi seperti University College Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan dalam melahirkan modal insan berkualiti.

Subsidi pinjaman dan ringankan hutang pelajar

Selain pendidikan percuma, kerajaan negeri turut merancang memperkenalkan dasar subsidi pinjaman pendidikan, termasuk pinjaman PTPTN dan Yayasan Sabah. Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 peminjam.

Hajiji menegaskan, dasar itu selari dengan kemampuan kewangan kerajaan negeri dan menjadi bukti komitmen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membantu lebih ramai pelajar tanpa mengira latar belakang keluarga.

Baca juga:

RM1.3 bilion untuk pendidikan sejak 2021

Sejak 2021, Sabah telah memperuntukkan lebih RM1.3 bilion dalam bidang pendidikan, iaitu jumlah terbesar dalam sejarah negeri itu. Antara inisiatif yang dijalankan termasuk:

  • Bantuan one-off RM600 untuk pelajar Sabah yang melanjutkan pelajaran ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan (GRS-SubFly).
  • Bantuan RM300 melalui inisiatif Sentosa untuk pelajar dalam negeri.
  • Dana biasiswa tertinggi sejak merdeka berjumlah RM136 juta pada tahun 2025.

Kerajaan negeri juga menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi membantu pelajar yang berdepan cabaran kewangan.

Hasil negeri kukuh, pendidikan jadi keutamaan

Menurut Hajiji, semua inisiatif ini dapat direalisasikan hasil kejayaan kerajaan meningkatkan pendapatan negeri sehingga hampir RM7 bilion. Beliau menegaskan, pendidikan dan pembangunan modal insan kekal menjadi teras utama pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Golongan muda adalah cerminan masa depan Sabah. Kita mahu mereka mendapat akses pendidikan terbaik, dan inilah sebabnya kerajaan memberi penekanan penuh kepada sektor ini,” katanya pada Majlis Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan KDCA, Ahad lalu.

Related Posts