Dua anggota polis ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes pemerasan terhadap seorang lelaki yang kemudiannya dilaporkan meninggal dunia di rumahnya di Kampung Asam Jawa, Baling, Jumaat lalu.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintenden Ahmad Salimi Md Ali, mangsa berusia 32 tahun pulang ke rumah dan memaklumkan kepada ibunya bahawa telefon bimbitnya dirampas oleh dua anggota polis yang menuntut wang RM200 untuk memulangkan semula peranti tersebut.
Ketika wang tersebut mahu diserahkan, mangsa tiba-tiba rebah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Parit Panjang. Hasil bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah mendapati punca kematian adalah serangan jantung mendadak dan tiada unsur jenayah ditemui.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Dua anggota polis berusia 24 dan 27 tahun itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan. Permohonan reman ke atas mereka dibenarkan selama dua hari sehingga Isnin.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian air kencing juga negatif. Siasatan tatatertib turut dibuka, dan pihak polis memandang serius kejadian ini,” kata Ahmad Salimi.
Terdahulu, tular laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa mengenai insiden yang berlaku.

Sumber: Sinar Harian








