Penduduk sahkan projek Kampung Sungai Baru dibangunkan pemaju tempatan, bukan Singapura | The Reporter

Penduduk sahkan projek Kampung Sungai Baru dibangunkan pemaju tempatan, bukan Singapura

Seorang wanita berhijab bercorak bunga sedang memegang mikrofon dan bercakap ketika sidang media mengenai projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru.
Penduduk Kampung Sungai Baru tegaskan projek dibangunkan pemaju tempatan, bukan Singapura.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Dakwaan kononnya projek pembangunan Kampung Sungai Baru dikendalikan pemaju Singapura akhirnya dibidas sendiri oleh penduduk yang mengesahkan syarikat terbabit adalah milik warga tempatan asal Klang.

Pengerusi Persatuan Pemilik Hartanah dan Kebajikan Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus, berkata kenyataan itu tidak masuk akal kerana segala proses pembangunan dilaksanakan mengikut undang-undang dengan penglibatan mahkamah, peguam serta persetujuan majoriti pemilik.

“Kasihan pemaju asal Klang ini penat melabur, tiba-tiba Singapura pula dapat nama. Kami boleh sahkan tiada penglibatan pihak luar,” katanya ketika sidang media bersama penduduk, lapor Sinar Harian.

Baca juga:

Dakwaan Singapura cetus kekeliruan

Sebelum ini, pempengaruh dan bekas pelakon Rafidah Ibrahim dalam satu rakaman video mendakwa projek itu ada kaitan dengan pihak Singapura. Rakaman tersebut tular selepas insiden kekecohan operasi pengosongan Kampung Sungai Baru pada 11 September lalu dan menimbulkan kekeliruan orang ramai, khususnya di media sosial.

Sanita menjelaskan, sehingga kini seramai 238 pemilik sudah menandatangani perjanjian usaha sama, termasuk 13 pemilik yang pada awalnya menolak tetapi kemudian berpatah balik. Baki 24 pemilik pula memilih untuk tidak menyertai projek dan menerima pampasan penuh.

Rumah baharu lebih selesa

Beliau turut memaklumkan, projek pembangunan semula dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. Penduduk yang kini menetap di rumah transit bakal kembali ke kediaman lebih selesa dengan keluasan 969 hingga 1,200 kaki persegi, berkonsep dua hingga tiga bilik.

“Sepatutnya kalau tidak ada kekecohan dan kes mahkamah, penduduk sudah boleh masuk ke rumah tahun lepas. Sepanjang sembilan tahun di rumah transit, mereka tinggal percuma sepenuhnya,” jelasnya.

Sanita menambah, kemelut yang berlarutan sejak bertahun-tahun akhirnya dapat diringankan hasil penglibatan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, serta gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim demi memastikan kesejahteraan penduduk.

Related Posts