Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dua anggota Maritim Melaka dan Negeri Sembilan cedera apabila bot pancung yang disyaki membawa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) merempuh mereka semasa operasi kejar-mengejar malam tadi.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Salehuddin Zakaria, Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut mengesan sebuah bot mencurigakan pada pukul 8.00 malam di kawasan Skim Pemisahan Trafik (TSS), dipercayai menuju perairan Tanjung Rhu, Sepang.
Bot Ronda Maritim Malaysia telah digerakkan untuk memintas, namun bot pancung yang dilengkapi tiga enjin berkuasa tinggi itu bertindak agresif dan merempuh sisi kiri bot operasi, menyebabkan kerosakan teruk.
Akibat hentakan tersebut, seorang anggota cedera di hidung manakala seorang lagi mengalami kecederaan pada kaki dan tangan. Kedua-duanya kini dirawat di Hospital Port Dickson dan dilaporkan stabil.
Baca juga:
- Pemimpin sejati mesti tolak penindasan, perjuang hak manusia tanpa kira latar belakang – PM
- Alasan ‘ubat’ cuma helah, AADK sahkan ketum boleh sebabkan masalah mental
- Dua Anggota Maritim cedera dirempuh bot pancung bawa PATI
Kepten Maritim Salehuddin berkata, bot terbabit dipercayai berpatah balik selepas gagal mendaratkan PATI, sementara operasi pengesanan serta tindakan khas sedang giat dijalankan untuk menjejaki suspek dan rangkaian penyeludupan.
“Maritim Malaysia memandang serius cubaan penyeludupan manusia melalui laluan laut kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan negara, malah turut membahayakan nyawa PATI serta anggota penguat kuasa.
“Insiden ini sekali lagi membuktikan bahawa tugas sebagai anggota penguat kuasa maritim berisiko tinggi, kerana sentiasa berhadapan ancaman secara langsung di laut termasuk dirempuh, malah berdepan kemungkinan kehilangan nyawa ketika menjalankan amanah negara,” katanya.