Ribuan pelancong Malaysia tersekat lebih 12 jam di sempadan Bukit Kayu Hitam | The Reporter

Ribuan pelancong Malaysia tersekat lebih 12 jam di sempadan Bukit Kayu Hitam

Ribuan kenderaan pelancong Malaysia beratur panjang di pintu masuk sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam
Gambar: Penang Press

Kegembiraan ratusan pelancong Malaysia yang pulang dari Thailand sempena cuti panjang Hari Malaysia berakhir sebaliknya apabila mereka tersekat berjam-jam dalam kesesakan luar biasa di pintu masuk sempadan Bukit Kayu Hitam.

Kesesakan yang mula tercetus sekitar jam 12 tengah hari waktu Thailand (15 Sept) itu menyaksikan ribuan kenderaan berpusu-pusu pulang melalui pintu masuk Sadao dan Bukit Kayu Hitam, menyebabkan barisan kenderaan menjangkau lebih tiga kilometer.

Menurut laporan Penang Press, lebih 500 kenderaan gagal melepasi pemeriksaan imigresen sebelum pintu sempadan ditutup pada jam 11 malam waktu Malaysia. Keadaan itu memaksa ramai pelancong berpatah balik ke Thailand selepas lebih 12 jam menunggu.

Baca juga:

Ada yang terpaksa mencari penginapan di sekitar pekan Sadao, manakala sebahagian lagi memilih untuk bermalam di dalam kereta sehingga pintu sempadan dibuka semula keesokan pagi.

https://www.tiktok.com/@lavenas_/video/7550368472379755794?_r=1&_t=ZS-8zn1YkaALEg

Lonjakan jumlah kenderaan kali ini dipercayai berpunca daripada cuti panjang Hari Malaysia yang bertembung dengan cuti sekolah, sekali gus menjadikan Hatyai dan Dannok sebagai destinasi tumpuan ribuan rakyat Malaysia.

Thailand, khususnya Hatyai, terus menjadi tumpuan pelancong Malaysia. Selain makanan dan barangan yang murah, ramai turut mendakwa kos penginapan di sana jauh lebih rendah berbanding di Malaysia.

Related Posts