Raja Azura fail tuntutan nafkah terhadap bekas suami | The Reporter

Raja Azura fail tuntutan nafkah terhadap bekas suami

Raja Azura memfailkan tuntutan nafkah terhadap bekas suami.
Gambar: Instagram Raja Azura.

Pelakon dan pengacara, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman terhadap bekas suaminya, Adzmin Osman, berhubung nafkah tiga anak mereka yang didakwa tidak dipatuhi sejak 15 tahun lalu.

Peguam syarie mewakili beliau, Mohammad Amirul Hanizan, berkata tuntutan itu difailkan bagi memastikan semua perintah mahkamah selepas perceraian pasangan tersebut pada tahun 2010 dapat dilaksanakan.

“Hari ini kami memulakan prosiding kerana defendan tidak melaksanakan perintah mahkamah berkaitan nafkah anak sejak 2010. Jumlah tuntutan tidak dapat saya dedahkan,” katanya.

Raja Azura menegaskan, tuntutan tersebut dibuat semata-mata untuk mendapatkan hak anak-anaknya, bukan untuk berbalah dengan bekas suami.

“Ini kali pertama saya ke mahkamah. Saya failkan tuntutan ini kerana mahu menunaikan hak anak-anak. Mereka sendiri yang beri kekuatan kepada saya,” katanya.

Baca juga:

Menurut beliau, meskipun tidak pernah berkomunikasi dengan bekas suami sejak bercerai, usahanya kali ini adalah demi masa depan anak-anak.

Raja Azura dan Adzmin bercerai pada 28 September 2010. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23; Megat Luqman Hakim Adzmin, 22; dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 20.

Sumber: Kosmo

Related Posts