Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ancaman terhadap fasiliti gas asli cecair (LNG) negara menjadi perhatian selepas kakitangan Petronas dilaporkan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan daripada nombor telefon Indonesia. Perkara itu disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ugutan melalui SMS
Menurut Fadillah, mesej berkenaan dihantar kepada warga kerja Petronas dari ibu pejabat syarikat itu. Penghantar meminta maklum balas berhubung sesuatu perkara, namun apabila tidak dibalas, ugutan membakar fasiliti LNG dibuat.
“SMS itu menggunakan nombor telefon dari Indonesia. Tapi siapa pengirim sebenar, polis masih menjalankan siasatan,” katanya memetik laporan Harian Metro, Selasa.
Beliau menambah, mesej tersebut tidak menyatakan secara khusus fasiliti LNG yang menjadi sasaran, sama ada di Bintulu, Sarawak atau di Sabah.
Baca juga:
- ‘Kalau ikhlas berjuang untuk Melayu, push pemaju siapkan cepat projek’ – Penduduk Kg Sungai Baru
- ‘Tindakan tegas terhadap provokasi ganggu operasi pengosongan Kampung Sungai Baru’ – Ketua Polis KL
- ‘Bukan semua yang hadir adalah penduduk asal, ramai orang luar buat kecoh’ – Syed Badli
Tindakan segera MKN
Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah mengarahkan kawalan keselamatan diperketat di semua fasiliti LNG di Sabah dan Sarawak. Langkah itu diambil bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh, selain meminimumkan risiko terhadap aset strategik negara.
Petronas dalam kenyataan berasingan memaklumkan, operasi LNG di Bintulu tidak terjejas walaupun menerima ancaman tersebut. Bekalan tenaga negara juga tidak mengalami sebarang gangguan.
Dalam masa sama, pihaknya memandang serius mesej ugutan yang diterima dan kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi menilai serta menangani sebarang kemungkinan.
Untuk rekod, Bintulu merupakan lokasi strategik bagi pengeluaran dan eksport LNG Malaysia. Ancaman keselamatan terhadap fasiliti di kawasan ini memberi kesan besar bukan sahaja kepada negara, malah pasaran tenaga global.