Elak masalah sistem, Rafizi cadang subsidi RON95 diagih tunai bukan guna MyKad | The Reporter

Elak masalah sistem, Rafizi cadang subsidi RON95 diagih tunai bukan guna MyKad

Rafizi Ramli bercakap dengan latar visual poster Sumbangan Asas Rahmah yang memaparkan notis sistem tergendala.
Rafizi cadang subsidi RON95 diagih tunai, bukan guna MyKad selepas isu sistem Sara tergendala.

Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan pendekatan paling praktikal untuk pelaksanaan subsidi petrol RON95 adalah melalui pemindahan tunai terus kepada rakyat, bukannya bergantung pada pengesahan MyKad di stesen minyak.

Menurutnya, pengalaman ketika pengagihan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) baru-baru ini membuktikan risiko besar jika kerajaan memilih mekanisme teknikal semata-mata. Gangguan sistem yang melibatkan rangkaian MyKasih pada 1 September menyebabkan kelewatan transaksi di pelbagai lokasi, sekali gus menyukarkan rakyat untuk menebus bantuan tersebut.

“Bayangkan kalau perkara sama berlaku ketika orang beratur mengisi petrol. Kalau sistem down, kad pembaca rosak atau bandwidth tak cukup, rakyat akan marah. Sebab itu saya lebih cenderung agar kerajaan terus beri tunai, mengikut kesesuaian keluarga, berbanding meletakkan beban pada mekanisme IC atau sistem di kaunter,” katanya dalam podcast Yang Berhenti Menteri.

Baca juga:

Bantuan sekali beri tidak tinggalkan kesan positif

Rafizi turut menyentuh tentang pengumuman bantuan tunai RM100 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dikreditkan ke MyKad lebih 22 juta rakyat. Baginya, langkah itu hanya dilihat sebagai modal politik jangka pendek kerana apa yang diingati rakyat bukanlah wang diterima, tetapi kesukaran ketika berurusan dengan sistem perlahan.

Katanya, pelaksanaan sebegini “mengagalkan tujuan” sebenar bantuan kerana hilang kesan positif yang diharapkan oleh kerajaan.

Subsidi petrol RON95 menanti mekanisme baharu

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan kerajaan masih meneliti kaedah paling sesuai sebelum memperincikan butiran subsidi petrol RON95. Antara pilihan yang sedang dipertimbang ialah penggunaan MyKad, e-dompet atau aplikasi syarikat minyak.

Butiran lanjut mengenai mekanisme itu dijangka diumumkan pada penghujung bulan ini.

Related Posts