Tan Sri Abu Sahid didakwa pecah amanah RM313 juta, pengubahan wang haram RM139 juta | The Reporter

Tan Sri Abu Sahid didakwa pecah amanah RM313 juta, pengubahan wang haram RM139 juta

Tan Sri Abu Sahid berdepan dengan empat tuduhan membabitkan projek MEX II.
Gambar: The Malaysia Reserve. Bulatan kecil: Malaysia Gazette.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pengarah Syarikat Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, 74, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan pecah amanah melibatkan lebih RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM139.2 juta.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Suzana Hussin ketika prosiding berlangsung. Semua pertuduhan berkait dengan projek pembinaan Lebuh Raya MEX II (Proposed Lebuhraya Putrajaya-KLIA) yang dijalankan oleh Maju Holdings Sdn Bhd.

Mengikut kertas pertuduhan, Abu Sahid sebagai pengarah syarikat didakwa menyalahgunakan wang milik Maju Holdings antara Mei 2016 hingga Oktober 2019. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan serta denda di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Bagi 13 pertuduhan lain, beliau didakwa memindahkan serta melupuskan wang hasil aktiviti haram antara Mei 2016 hingga September 2018. Kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLA 2001 itu membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah wang terlibat atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Baca juga:

Turut didakwa, isterinya Puan Sri Noor Azrina Mohd Azmi, 48, atas satu pertuduhan menerima wang haram berjumlah RM67.1 juta ke dalam akaun banknya pada 2017.

Seorang lagi, bekas pengarah syarikat pembinaan Datuk Yap Wee Leong, 68, menghadapi 17 pertuduhan menggunakan dokumen palsu membabitkan nilai RM314 juta bagi kerja-kerja projek lebuh raya sama.

Hakim membenarkan jaminan sebanyak RM1.5 juta kepada Abu Sahid, RM500,000 kepada Noor Azrina, dan RM1 juta kepada Wee Leong, dengan syarat semua pasport diserahkan kepada mahkamah. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 November ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menyita pelbagai aset bernilai juta milik Abu Sahid termasuk jam tangan mewah, beg tangan berjenama, kenderaan mewah, barang kemas serta wang tunai. SPRM turut menemui stor minuman keras mewah bernilai RM3 juta di kediamannya yang dipercayai ada kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Sumber: Kosmo, Sinar Harian

Related Posts