Pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, membuat laporan polis selepas menerima ancaman daripada netizen dipercayai susulan keterangannya dalam prosiding inkues kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.
Memetik laporan dari Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.
“Kami terima laporan daripada beliau petang semalam. Dalam laporan itu, Dr Jessie menyatakan beliau dimaklumkan oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth mengenai ancaman berkenaan,” katanya.
Dalam prosiding di Mahkamah Koroner, Dr Jessie menolak kemungkinan Zara Qairina ditolak atau diserang, sebaliknya menyatakan ada kemungkinan pelajar itu melompat atau bergayut pada jeriji besi tergantung dari atas tembok koridor asrama itu.
Keterangannya mencetuskan kritikan di media sosial dengan ada yang mempersoal penemuannya serta melemparkan kata-kata hinaan.
Baca juga:
- SPR umum tarikh PRN Johor 11 Julai, Negeri Sembilan 1 Ogos
- Kisah lelaki Johor temui makna kehidupan di Terengganu
- MMN bantah cadangan kemasukan terbuka jururawat Indonesia
Dalam pada itu, peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, Hamid Ismail, meminta orang ramai supaya menghormati Dr Jessie Hiu.
“Hormatilah Dr Jessie Hiu. Menghina dan merendah-rendahkan kepakaran beliau tidak memberi sebarang kebaikan kepada sesiapa pun.
“Kami akan menyoal beliau lagi pada minggu depan,” katanya dalam hantaran di Facebook.








