Lelaki di India dihukum mati kerana ejek dan bunuh isterinya berkulit gelap | The Reporter

Lelaki di India dihukum mati kerana ejek dan bunuh isterinya berkulit gelap

Foto perkahwinan pasangan di India; isteri berbusana tradisional merah dengan perhiasan, suami memakai turban merah dan sut putih.
Pasangan ini menjadi perhatian selepas si suami dihukum mati kerana ejek dan bunuh isterinya berkulit gelap. | Kredit gambar: The Indian Express

Seorang lelaki di Rajasthan, India dijatuhkan hukuman mati selepas didapati bersalah membakar isterinya hidup-hidup hanya kerana berkulit gelap. Hakim menyifatkan perbuatan itu sebagai jenayah paling kejam yang “menggoncang hati nurani manusia”.

Mangsa, Lakshmi, dalam kenyataan terakhirnya memberitahu bahawa suaminya, Kishanlal yang juga dikenali sebagai Kishandas, sering mengejek warna kulitnya. Pada 24 Jun 2017, dia diberikan sebotol cecair yang dikatakan ubat pemutih kulit. Namun apabila Lakshmi menyedari baunya seperti asid, suaminya bertindak menyalakan api dan membakarnya hidup-hidup.

Baca juga:

Jenayah dalam kategori paling kejam

Hakim Rahul Choudhary menegaskan perbuatan itu termasuk dalam kategori kes paling jarang dan paling kejam. Katanya, ia bukan sekadar jenayah terhadap seorang isteri, sebaliknya satu penghinaan besar terhadap nilai kemanusiaan.

Mahkamah juga menyatakan hukuman berat perlu dikenakan bagi memastikan masyarakat berasa takut untuk melanggar undang-undang. Catatan penghakiman menyebut Kishanlal telah “mengkhianati kepercayaan isterinya” dan menunjukkan “kekejaman melampau”.

Peguam akan kemukakan rayuan

Pendakwa raya, Dinesh Paliwal, yang mengemukakan 14 saksi serta 36 dokumen, menyifatkan keputusan itu sebagai bersejarah. Katanya, mangsa yang baru berusia awal 20-an dibunuh secara kejam dan kes ini menjadi pengajaran penting dalam usaha melindungi kaum wanita.

Namun, peguam bela Kishanlal, Surendra Kumar Menariya, mendakwa kematian itu hanyalah satu kemalangan dan pihaknya akan mengemukakan rayuan.

Hukuman mati itu kini dirujuk ke Mahkamah Tinggi untuk pengesahan, manakala tertuduh mempunyai tempoh 30 hari untuk memfailkan rayuan.

Sumber: Independent

Related Posts