Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketika ramai mengeluh harga barang makin mahal dan RM100 habis dalam sekali belanja di pasar raya, kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh mengundang perhatian apabila menyatakan ada warga emas yang mampu bertahan sebulan dengan jumlah itu.
“Ada orang RM100 itu boleh beri barang keperluan, kalau orang tua warga emas tinggal berdua, mungkin RM100 itu boleh beli barang keperluan sepanjang bulan. Namun bagi orang lain, RM100 itu tiada apa, sekadar beli aiskrim atau belanja minum sahaja,” katanya.
Fuziah menegaskan, realiti ini menggambarkan betapa nilai wang sangat berbeza mengikut keadaan hidup seseorang. Apa yang dianggap kecil bagi segelintir orang, sebenarnya besar ertinya bagi golongan lain, khususnya warga emas yang hidup sederhana.
Baca juga:
- ‘Cadangan kembalikan Dara, Amoi, Kelat wajar dipertimbangkan dengan serius’ – Arthur
- WWF-Malaysia ambil maklum kebimbangan orang ramai kebajikan tiga gajah
- GSF 2.0: Tiga delegasi Malaysia kembali ke tanah air selepas kapal rosak
Jurang realiti rakyat Malaysia
Menurut beliau, pengalaman turun padang bersama rakyat membuatkan KPDN sentiasa mendengar keluhan mengenai kos sara hidup. Katanya, perkara ini membuktikan bahawa bantuan kecil sekalipun mampu memberi impak besar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Kami di KPDN yang jaga kos sara hidup, tambah pula saya yang sentiasa di bawah dengar rintihan rakyat, memang nampak jelas bahawa RM100 itu besar bagi sesetengah orang,” katanya lagi.
Kenyataan itu bukan sekadar angka, tetapi cerminan betapa peritnya sebahagian rakyat menguruskan kehidupan. Ia menunjukkan masih ramai yang perlu menilai setiap sen demi kelangsungan hidup, sedangkan orang lain mungkin tidak menyedari betapa besarnya nilai RM100 bagi golongan berpendapatan rendah.
Sumber: Astro Awani




