Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, akhirnya menarik nafas lega selepas Mahkamah Sesyen Sepang melepas dan membebaskannya daripada empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang lagu raya Kelepok Raya, tiga tahun lalu.
“Saya tidak sangka boleh menang hari ini. Kalau saya kalah, saya kena bayar (denda) sehingga RM200,000,” katanya dengan nada lega selepas hampir tiga tahun berdepan perbicaraan.
Aliff, 38, turut mengakui hidupnya sangat tertekan sepanjang tempoh itu.
“Hidup saya tertekan sehingga tidak boleh tidur malam sepanjang tempoh tiga tahun ‘turun naik’ mahkamah dalam kes ini dan akhirnya saya menang,” ujarnya.
Baca juga:
- Anak Amyza Aznan, Adrian curi perhatian di pentas TTMM
- Bisnes merosot, Zul Yahya dedah anak isteri terpaksa bermalam di kedai
- Alif Satar terharu ride Subuh ke masjid di Genting Highland raih sambutan
Kontroversi muzik video
Kes ini bermula pada 2022 apabila muzik video Kelepok Raya berdurasi 5 minit 23 saat mencetuskan kontroversi kerana memaparkan aksi keterlaluan beberapa penari lelaki lembut. Kandungan tersebut disifatkan mencemari sambutan Aidilfitri serta mengandungi elemen lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), sekali gus mengundang kecaman hebat.
Sejak itu, Aliff berulang-alik ke mahkamah sehingga keputusan akhir diumumkan hari ini. Beliau hadir bersama barisan peguam yang mewakilinya dan berterima kasih atas sokongan mereka sepanjang prosiding.
Minta maaf kepada netizen
Dalam masa sama, Aliff turut mengambil peluang memohon maaf kepada masyarakat yang tersinggung dengan tindakannya menghasilkan muzik video berkenaan.
“Apa yang berlaku ini adalah pengajaran terbaik bagi saya. Ramai beranggapan tindakan saya (membuat muzik video berkenaan) adalah tidak betul. Justeru, saya minta maaf juga kepada netizen (warganet) yang marah terhadap saya,” katanya.
Beliau turut memberi bayangan akan menghasilkan karya baharu selepas ini dengan pendekatan lebih berhemah. “Selepas ini, saya akan keluarkan lagu baharu tetapi ia akan menjadi versi yang lebih baik serta memberi contoh terbaik,” tambahnya.
Sumber: Harian Metro








