Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pelajar Tingkatan Tiga kini berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah di Sabak Bernam.
Mangsa, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira jam 2 pagi, sebelum dimaklumkan kepada keluarga dua jam kemudian.
Menurut bapa saudaranya, Muhammad Aidil Mansor, keputusan imbasan CT scan mendapati Ahmad Irfan mengalami pendarahan pada kedua-dua bahagian otak, rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.
“Kalau betul jatuh dari tingkat tiga, mestilah patah riuk. Tapi hasil imbasan hanya tunjuk rahang sahaja yang patah. Sebab itu kami syak ada unsur buli,” katanya.
Baca juga:
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
Susulan kejadian, keluarga mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Sabak Bernam pada jam 5 pagi Selasa. Difahamkan, lima pelajar telah ditahan polis bagi membantu siasatan namun setakat ini masih enggan memberikan keterangan.
Dalam pada itu, keluarga mangsa turut mempertikai tindakan pihak sekolah yang didakwa lambat memaklumkan insiden tersebut.
“Keluarga hanya dimaklumkan pada jam 4 pagi, sedangkan kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi. Warden kata Irfan jatuh dari tingkat tiga selepas makan mi segera. Tapi dalam laporan perubatan, perutnya langsung tiada sisa makanan,” jelasnya.
Mangsa kini masih ditidurkan di hospital dan berada dalam pemantauan rapi pasukan perubatan.
Sumber: Sinar Harian








