Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, Mohd Soud Said menafikan dakwaan wujudnya ‘pasukan sorak’ khas untuk Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada acara RXZ Members 7.0 baru-baru ini.
Beliau menyifatkan tuduhan yang dibuat oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Samsul Iskandar Mohd Akin serta penganjur program sebagai tidak berasas dan fitnah semata-mata.
Menurut Mohd Soud, individu yang dilihat berada di barisan hadapan pentas hanyalah rakyat biasa dan peminat permotoran yang hadir untuk menyokong acara berkenaan, bukannya kumpulan di bawah arahan mana-mana pihak.
“Sorakan mereka adalah manifestasi suara hati rakyat yang tidak suka melihat acara santai seperti ini dijadikan bahan catur politik elit.
“Mereka hadir untuk menikmati suasana, meraikan semangat komuniti, di saat masyarakat setempat ada yang sanggup menyediakan penginapan percuma, minyak percuma dan makanan percuma demi memastikan tetamu luar disambut meriah,” katanya.
Baca juga:
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
Beliau turut menyifatkan tuduhan kononnya mereka adalah ‘pasukan sorak MB’ sebagai usaha mengalih perhatian serta menutup rasa malu pihak tertentu selepas ditolak oleh peminat permotoran dan rakyat.
Mohd Soud menegaskan, kerajaan negeri melalui Menteri Besar sentiasa menyokong penganjuran acara bermanfaat dengan menyediakan fasiliti, promosi serta bantuan keselamatan.
“Fitnah dan manipulasi fakta untuk memburukkan Terengganu adalah tindakan tidak bertanggungjawab,” ujarnya.








