Pegawai Imigresen cedera diserang wanita China di KLIA | The Reporter

Pegawai Imigresen cedera diserang wanita China di KLIA

Wanita berambut panjang berpakaian serba hitam, duduk sambil tangan bergari di hadapan poster panduan laporan polis.
Wanita warga China ditahan selepas menyerang pegawai imigresen di KLIA, semalam.

Seorang pegawai imigresen wanita cedera di mata dan kepala selepas diserang seorang penumpang warga China dalam kejadian tegang di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 7.40 malam itu bermula apabila empat warga China terdiri daripada dua dewasa dan dua kanak-kanak melalui pemeriksaan pelepasan sebelum pegawai mendapati tiada rekod pergerakan masuk dalam sistem.

Kes itu kemudian dirujuk kepada penyelia untuk semakan lanjut, Namun salah seorang wanita terbabit berang apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain.

Baca juga:

Tudung ditarik, kepala dihentak ke tiang

Menurut Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), wanita itu mula memaki hamun pegawai bertugas, menarik tudung mangsa, kemudian menolak kepala pegawai berkenaan ke arah tiang di hadapan kaunter. Aksi itu mencetuskan pergelutan kecil sebelum Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dipanggil untuk mengawal keadaan.

Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami bengkak di mata kiri, sakit di bahagian kanan kepala dan lenguh badan. Mangsa dibawa ke Hospital Cyberjaya untuk mendapatkan rawatan dan laporan perubatan.

Suspek ditahan

Suspek kini berada dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan disiasat mengikut Seksyen 186, 332 dan 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang, mencederakan dan menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam.

AKPS menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kekerasan atau penghinaan terhadap pegawai bertugas dan menggesa hukuman setimpal dikenakan bagi memastikan keselamatan petugas di lapangan terbang terus terpelihara.

Sumber: Harian Metro

Related Posts