Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Felo Penyelidik Pendidik Madani, Dr. Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim, menegur pihak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, susulan kes kematian pelajar, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Dalam hantaran di Facebook semalam, beliau mempersoalkan tujuan himpunan itu yang menurutnya tidak selari dengan matlamat menuntut keadilan.
“Berhimpun di depan sekolah? Untuk apa? Kita kata mahu keadilan, tapi kenapa caranya bunyinya seperti mahu membuli?
“Di dalam pagar itu ada murid-murid yang sedang bertarung dengan debar SPM, guru-guru yang tidak tidur malam memikirkan anak didik dan ibu bapa yang bimbang anak mereka trauma melihat orang dewasa menjerit di luar pagar sekolah,” tulisnya.
Baca juga:
- ‘Cadangan kembalikan Dara, Amoi, Kelat wajar dipertimbangkan dengan serius’ – Arthur
- WWF-Malaysia ambil maklum kebimbangan orang ramai kebajikan tiga gajah
- GSF 2.0: Tiga delegasi Malaysia kembali ke tanah air selepas kapal rosak
Beliau turut mengecam tindakan netizen menghina Ketua Perkhidmatan Pendidikan yang cuba meredakan keadaan serta mengingatkan bahawa hilang kepercayaan kepada undang-undang dan membiarkan kemarahan menguasai tindakan hanya akan melahirkan masyarakat yang lebih ganas.
“Keadilan bukan menghukum semua orang atas dosa segelintir. Keadilan bukan menutup sekolah dan melabel guru sebagai syaitan. Itu bukan perjuangan, itu dendam. Marah yang tidak dibimbing iman hanya akan melahirkan zalim yang baru,” tegasnya.
Himpunan boleh ganggu proses pembelajaran
Terdahulu, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Haji Azman Adnan, merayu orang ramai supaya tidak mengadakan perhimpunan di hadapan SMKA Tun Datu Mustapha.
Beliau berkata, tindakan itu boleh mengganggu proses pembelajaran, menjejaskan emosi pelajar serta menimbulkan ketegangan yang tidak perlu.
Netizen tetap teruskan desakan
Rayuan tersebut bagaimanapun mendapat reaksi bercampur di media sosial. Sebahagian netizen menyokong dan memahami tujuan larangan itu, namun ramai yang tetap mendesak himpunan diteruskan sebagai simbol tuntutan keadilan.
Antara komen yang tular termasuk desakan menutup sekolah, kritikan keras terhadap guru dan pentadbir, seruan “menunjukkan kuasa rakyat”, serta sindiran terhadap pentadbir sekolah. Dalam masa sama, terdapat juga suara yang mengajak bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menyelesaikan siasatan.








