Presiden Donald Trump dilapor telah memindahkan potret rasmi bekas Presiden Barack Obama, George W. Bush dan bapanya, George H.W. Bush ke kawasan tangga tersembunyi di White House, sekali gus mencerminkan ketegangan berlarutan antara beliau dengan para pendahulunya.
Menurut laporan abc45news, Trump mengarahkan kakitangan memindahkan potret Obama ke bahagian atas Grand Staircase, lokasi yang tidak dapat dilihat oleh ribuan pengunjung yang melawat White House. Potret kedua-dua bekas Presiden Bush turut diletakkan di kawasan tangga itu.
Lokasi baharu potret Obama adalah di laluan masuk ke kediaman peribadi, yang hanya boleh diakses oleh ahli keluarga Presiden, ejen Secret Service dan sebilangan kecil kakitangan eksekutif White House.
Ini bukan kali pertama potret lukisan fotorealistik hasil karya Robert McCurdy itu dipindahkan. Pada April lalu, ia dipindahkan ke seberang Grand Foyer dan digantikan dengan lukisan Trump yang digambarkan terselamat daripada cubaan pembunuhan di Butler, Pennsylvania.
Secara tradisi, potret bekas presiden yang paling terkini akan diberikan tempat paling menonjol di White House, dapat dilihat oleh tetamu rasmi dan pengunjung. Potret bekas Presiden Joe Biden bagaimanapun masih belum disiapkan.
Sumber memaklumkan Trump terlibat secara langsung dalam hampir setiap keputusan berkaitan estetika White House.
Baca juga:
- Gorila Kiyomasa tular, muka ‘overthinking’ lepas bergaduh dengan pasangan
- Selat Hormuz ditutup sepenuhnya susulan serangan AS
- Gempa 7.8 Magnitud: Video bangunan sekolah di Mindanao, Filipina runtuh tular
Hubungan semakin tegang
Langkah ini dibuat ketika hubungan antara Trump dan Obama semakin tegang sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Trump baru-baru ini menuduh Obama serta pentadbirannya melakukan pengkhianatan ketika pilihan raya 2016. Pejabat Obama menyifatkan tuduhan itu sebagai “tidak masuk akal” dan “cubaan lemah untuk mengalih perhatian,” dipercayai merujuk kepada pendedahan dokumen Jeffrey Epstein yang menjejaskan pentadbiran Trump sejak beberapa minggu lalu.
Jabatan Kehakiman, atas arahan Peguam Negara Pam Bondi, mengarahkan pendakwa memulakan siasatan juri besar terhadap dakwaan bahawa pegawai kanan pentadbiran Obama mereka-reka maklumat risikan berhubung campur tangan Rusia dalam pilihan raya 2016.
Tindakan terhadap potret keluarga Bush pula berlaku di tengah-tengah ketegangan panjang antara Trump dan keluarga berpengaruh itu. Dalam sebuah biografi, mendiang George H.W. Bush menggelar Trump sebagai “angkuh” dan mengundi Hillary Clinton pada pilihan raya 2016. Trump sebelum ini menggelar George W. Bush sebagai presiden yang “gagal dan tidak memberi inspirasi.”
Pada penggal pertama Trump, beliau juga melakukan penyusunan semula potret presiden dengan menggantikan potret Bill Clinton dan George W. Bush di Grand Foyer dengan potret William McKinley dan Theodore Roosevelt.








