Pelawak dan pelakon, Amir Raja Lawak berkongsi kisah menyentuh hati mengenai keadaan kesihatan bapanya yang kini terlantar dan berdepan kemungkinan perlu menjalani pembedahan baharu.
Menerusi hantaran di media sosial, Amir berkata beliau berkesempatan menemui bapanya sebentar sebelum ditolak masuk ke bilik untuk menjalani pemeriksaan ultrasound.
“Alhamdulillah tadi sempat jumpa abah sekejap sebelum abah ditolak masuk ke bilik untuk ultrasound. Dan selepas doktor check pulak nanti, akan dibuat keputusan sama ada perlu lakukan pembedahan baharu sebab kesan pembedahan sebulan yang lepas tu terkoyak, keluar darah dan jugak keluar nanah yang mana terjadi dari semalam lagi,” tulisnya.
Amir mengakui tidak dapat menahan sebak apabila bapanya sempat bertanya, dengan nada perlahan, berapa hari beliau akan berada di Kuala Lumpur.
“Saya mampu tunjuk isyarat dengan jari je angka berapa hari pergi KL sebab dah tak mampu menahan suara untuk tak bagi menangis depan abah, last-last tumpah jugak air mata jantan saya di depan abah yang sedang terlantar,” katanya lagi.
Baca juga:
- Filem Konspirasi didakwa henti tayangan, Sarimah Ibrahim luah rasa kecewa
- Tabung untuk Adrian Adam dihentikan, Pak Nil umum jumlah kutipan
- Anak Amyza Aznan, Adrian curi perhatian di pentas TTMM
Tambah Amir, beliau sebenarnya tidak kuat untuk berjauhan dengan keluarga dalam keadaan seperti ini. Namun, demi mencari rezeki dan menampung kos rawatan bapanya yang dijangka tinggi, beliau tetap akan bekerja hujung minggu ini.
“Ahad saya kena bekerja juga bagi dapatkan duit untuk standby apa-apa keperluan buat rawatan abah sebab saya difahamkan kos memang tinggi lagi-lagi harga ubat. Itu yang saya akan terlibat dengan PAK MAT Western lagi sekali yang akan menemukan saya dengan cip Lando Zawawi – Brotherhood Malaysia dekat Mydin Subang Jaya pada hari Ahad 10hb, waktu selepas Zohor,” jelasnya.
PMX ke Kota Bharu
Dalam masa sama, Amir turut berkongsi bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual hadir di tapak Stadium Kota Bharu esok sempena Program Madani Rakyat, yang terletak bersebelahan kedainya.
“Siapa yang handle ye? Tolong bagitahu PMX yang saya ada kedai kat sini, boleh la nanti PMX singgah beli ayam goreng saya jual ni,” selorohnya di akhir hantaran.
Reaksi daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri
Setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Farhan Fauzi tampil memberikan maklum balas ringkas hantaran Facebook Amir.
“InshaAllah saya akan maklum kepada YAB PM dengan kadar segera,” katanya.
Walaupun ringkas, respons ini memberi harapan bahawa kesusahan Amir dan keluarganya akan disampaikan kepada Perdana Menteri. Menerusi ruangan komen pada hantaran Farhan Fauzi, terdapat juga netizen yang menggesa agar industri hiburan diberikan perhatian oleh Perdana Menteri.








