Penduduk gesa siasatan, tetapi ada juga minta isu tidak diperbesarkan
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang kanak-kanak lelaki disyaki menganiaya dua ekor anak kucing sehingga mati dalam kejadian di Blok D, Pangsapuri Seri Nilam, Jalan Wawasan Ampang, Bandar Baru Ampang.
Menurut hantaran pengguna Instagram, Shima Aris, anak-anak kucing yang baru dilahirkan itu diambil dari sangkar dan dipercayai dihempas ke dinding. Bangkai haiwan tersebut kemudian ditemui di tingkat empat bangunan yang sama.
“Anak-anak kucing ini baru lahir dan diambil dari ibunya,” tulis Shima yang turut berkongsi video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kelibat kanak-kanak tersebut.


Sumber gambar: Shima Aris
Beliau juga menyeru penduduk kawasan itu supaya segera membuat laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) secara online dan membuat laporan polis, walaupun pelaku dipercayai seorang kanak-kanak.
“Kanak-kanak atau tidak, mereka mesti dihukum!” tegasnya lagi.
Baca juga:
- Rafizi perkenal Fleximart & Kesum, tawar makanan bawah RM5
- 5 Remaja ditahan halang laluan ambulans
- 7 tahun besarkan anak tanpa gajet, bapa kongsi kesan positif
Reaksi bercampur dari kalangan penduduk
Tindakan mendedahkan kejadian ini ke media sosial nyata mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk setempat. Menerusi tangkap layar perbualan WhatsApp komuniti yang turut dikongsi semula di Instagram, ada pihak yang tidak senang dengan penularan isu tersebut.
Ada yang mendakwa hantaran itu bersifat provokatif dan boleh mencemarkan nama baik kawasan kediaman.
“Benda dah viral… kalau boleh jangan seronok sangat nak heboh. Kena jaga imej penduduk Sri Nilam,” tulis seorang pengguna.

Ada juga yang menganggap isu itu tidak wajar diperbesarkan selagi belum ada bukti kukuh. Namun, ada juga penduduk yang menyokong usaha menuntut siasatan menyeluruh agar insiden seumpama ini tidak berulang, khususnya terhadap haiwan peliharaan di kawasan perumahan tersebut.
Sumber: Instagram Shima Aris








