Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, mengesahkan beliau telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara rasmi bermula 1 Julai lalu, sekali gus meninggalkan UMNO yang pernah meletakkan beliau di puncak kepimpinan negeri.
Jelasnya, keputusan itu dibuat setelah melihat UMNO kini tidak lagi berperanan sebagai parti dominan, sebaliknya hanya menjadi pelengkap kepada Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perpaduan.
“Kalau kita mahu jadi parti dominan, kita mesti bertanding semua kerusi. Tapi kalau asyik berlindung bawah ketiak perdana menteri, macam mana nak jadi dominan?” katanya, merujuk kepada jumlah kerusi UMNO yang semakin mengecil berbanding rakan sekutunya seperti PKR dalam pilihan raya.
Pada PRN Selangor lalu, UMNO hanya bertanding di 12 kerusi DUN. Menurut Khir, situasi itu menjadikan UMNO gagal menonjol sebagai parti utama. Dalam PRU15 pula, hasrat beliau untuk bertanding di Parlimen Sungai Besar ditolak dan tempat itu diberikan kepada Jamal Yunos yang kemudiannya tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN).
Baca juga:
- ‘Saya menentang mana-mana kerajaan tebuk atap’ – Dr Akmal Saleh
- Sim gesa BN Negeri Sembilan hormati objektif penubuhan Kerajaan Perpaduan
- PN Negeri Sembilan sedia bekerjasama dengan BN
Yakin Bersatu mampu bangkit, sedia bantu strategi Selangor
Khir Toyo mendedahkan beliau telah diminta oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dengan Azmin Ali dan Noh Omar merangka gerak kerja menghadapi pilihan raya akan datang, khususnya dalam misi menawan semula Selangor. Namun, beliau menolak sebarang kemungkinan untuk kembali memegang jawatan menteri besar.
“Saya sudah 60 tahun. Saya cuma mahu negara ini berada di landasan yang betul untuk generasi akan datang,” katanya yang juga bekas ADUN Sungai Panjang.
Dalam kenyataan berasingan di Facebook, Khir menyatakan beliau sedar penyertaannya ke dalam Bersatu bakal mencetuskan pelbagai tohmahan, namun tidak gentar dengan serangan peribadi.
“Saya sedar ramai tidak senang dengan saya. Tapi hidup dalam bayang-bayang pandangan orang lain hanya akan buat kita gagal. Biarlah saya fokus bantu negara dipimpin oleh pemimpin Melayu yang adil,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa penyertaannya bukan kerana gilakan jawatan, sebaliknya sebagai satu sumbangan kecil untuk memastikan hala tuju negara tidak tersasar.
Sumber: MalaysiaKini








