Saksi utama kes Lim Guan Eng diserang 10 lelaki, diugut 'jangan jadi wira' | The Reporter

Saksi utama kes Lim Guan Eng diserang 10 lelaki, diugut ‘jangan jadi wira’

Saksi utama perbicaraan kes Lim Guan Eng diserang 10 orang lelaki.
Gambar hiasan.

Seorang saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, diserang sekumpulan 10 lelaki dalam kejadian di kediamannya di Petaling Jaya, pagi tadi.

Memetik laporan Berita Harian, mangsa mengalami kecederaan di muka dan tangan selepas kumpulan terbabit menceroboh rumahnya dengan mengikat dua pengawal keselamatan sebelum menyerang.

Penyerang juga dikatakan memberi amaran kepadanya supaya tidak menjadi wira dan duduk di rumah sahaja.

“Penyerang turut memberi amaran agar dia hanya duduk di rumah dan jangan jadi ‘wira’,” kata sumber.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 7.20 pagi. Katanya, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Baca juga:
Akan dibangkitkan semasa perbicaraan

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu berkata, insiden berkenaan akan dibangkitkan semasa perbicaraan bersambung pada 19 Ogos ini.

Lim Guan Eng, yang juga Penasihat DAP, sedang berdepan beberapa pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen berkaitan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.

Beliau didakwa menyalahgunakan kedudukannya ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dengan meminta suapan daripada Pengarah Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli bagi memastikan projek itu diberikan kepada syarikat berkenaan.

Guan Eng juga didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan syarikat serta dituduh menerima RM3.3 juta untuk dirinya sendiri, selain menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri dilupuskan kepada syarikat berkaitan projek tersebut.

Related Posts