Janji minggu ke minggu, tapi bayaran masih tak dapat
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelawak dan pelakon, Mamak Puteh, mendakwa beliau masih belum menerima bayaran daripada pihak stesen penyiaran Awesome TV walaupun sudah menunggu sejak sekian lama.
Menerusi satu hantaran di Instagramnya hari ini, beliau memaklumkan laporan polis telah dibuat sebagai langkah terakhir selepas semua usaha mendapatkan bayaran tidak membuahkan hasil.
“Sebelum ini bermacam cara telah dibuat, call berpuluh kali, WhatsApp bertahun, perbincangan sudah, merayu pun sudah. Masih tak dapat bayaran,” katanya.
Menurutnya, cadangan untuk menyelesaikan bayaran secara ansuran juga pernah dikemukakan, selain beberapa emel dihantar kepada pihak terlibat, namun sehingga kini tiada sebarang pembayaran diterima.
“Bermacam janji telah diberi dari pihak Awesome TV. Minggu ke minggu, bulan ke bulan, tahun ke tahun, masih tak dapat bayaran,” katanya lagi.
BACA JUGA
- Amira Othman umum hamil 30 minggu
- Isu gelaran juara, Zaha Spring pertahan kenyataan Ameng
- Dari gurauan jadi kenyataan, lelaki sahut cabaran TokTi joging 8KM
Pelawak itu turut meluahkan kekecewaannya dengan berkata beliau sedar akan kesukaran golongan ‘kecil’ untuk mendapatkan keadilan apabila berhadapan dengan entiti yang lebih berpengaruh.
“Saya tahu kalau orang miskin nak lawan dengan orang kaya, endingnya kita tahu siapa yang kalah. Sebab semuanya bergantung kepada duit.”
Beliau berharap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara itu dan memastikan keadilan diberikan kepada mereka yang didakwa teraniaya.
Setakat ini, pihak Awesome TV belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.
Sumber: Instagram Mamak Puteh








