Chan Foong Hin sifatkan ia simbol kematangan dan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Chan Foong Hin menyifatkan kehadiran lebih 30 Ahli Parlimen DAP ke taklimat TVET di ibu pejabat UMNO sebagai detik bersejarah yang melambangkan kematangan politik serta kerjasama tulen dalam Kerajaan Perpaduan.
Taklimat yang diadakan di Menara Dato’ Onn itu dihoskan oleh Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Chan, ini kali pertama delegasi sebesar itu dari DAP menjejakkan kaki secara rasmi ke pusat pentadbiran tertinggi UMNO, suatu perkara yang mustahil dibayangkan satu dekad lalu.
Baca juga:
- ‘PAS wajar diberi laluan terajui jawatan PM’ – Isham Jalil
- UMNO kekal sokong Kerajaan Perpaduan hingga PRU akan datang
- ‘Malaysia tidak perlukan Rashid Maidin 2.0’ – Pemuda MCA
Perpaduan bukan keseragaman, tapi tekad membina negara
Dalam kenyataannya, Chan menegaskan bahawa kunjungan ini bukan sekadar simbolik, tetapi manifestasi komitmen DAP dalam membina negara bersama rakan-rakan dari pelbagai latar belakang ideologi.
“Kita sedang mengatasi perbezaan ideologi demi kemajuan negara. Perpaduan bukan tentang keseragaman, tapi usaha membina kesepakatan,” katanya menerusi hantaran Facebook bertanda pagar #thoughtsoftheweek.
Beliau turut menambah walaupun Kerajaan Madani tidak sempurna, ia serius dalam melaksanakan tanggungjawab dan langkah-langkah seperti ini menunjukkan kesediaan semua pihak untuk bekerjasama ke arah masa depan lebih stabil dan inklusif.
Sumber: Facebook Chan Foong Hin








