Ibu model Belanda menang saman RM1.1 juta, polis cuai siasat kematian anak | The Reporter

Ibu model Belanda menang saman RM1.1 juta, polis cuai siasat kematian anak

Seorang wanita muda berpakaian ungu berdiri di kawasan hiburan malam yang dipenuhi orang ramai.
Ivana Smit ketika bergambar di sebuah lokasi hiburan sebelum kematiannya pada 2017 | Kredit gambar: Portal HLN
Mahkamah dapati pelanggaran tanggungjawab serius oleh pihak berkuasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa memutuskan terdapat unsur kecuaian dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis dalam siasatan kematian model warga Belanda, Ivana Esther Robert Smit, pada 2017.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Roz Mawar Rozain yang turut memerintahkan kerajaan dan pihak berkuasa membayar ganti rugi sebanyak RM1.1 juta kepada ibu mangsa, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, selaku plaintif dalam saman sivil yang difailkannya pada 20 November 2020.

Dalam saman itu, beliau menamakan Ketua Polis Negara, pegawai penyiasat Asisten Superintendan Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan sebagai defendan.

Mahkamah mendapati siasatan polis penuh kecuaian, termasuk kegagalan mengurus lokasi kejadian, pemeliharaan bukti dan penggunaan prosedur forensik yang tepat.

Baca juga:

Polis diperintah sambung siasatan, pegawai penyiasat disingkirkan

Roz Mawar turut mengarahkan Ketua Polis Negara menyingkirkan Faizal Abdullah daripada pasukan petugas siasatan dan mematuhi arahan Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada 2019 untuk menyambung semula siasatan.

Polis juga diperintahkan memberi taklimat berkala setiap tiga bulan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), manakala AGC pula perlu menentukan tindakan lanjut berdasarkan bukti yang dikumpul.

Hakim menegaskan bahawa kegagalan mematuhi perintah kehakiman sejak 2019 adalah satu pelanggaran tanggungjawab statutori dan boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap mahkamah.

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur | Kredit gambar: Utusan TV
Keadilan dinafikan kepada keluarga mangsa

Mahkamah turut memutuskan terdapat unsur “misfeasance in public office”, iaitu penyalahgunaan kuasa dalam jawatan awam, apabila tindakan pegawai penyiasat didapati jauh daripada piawaian sewajarnya.

Antara kelemahan yang dibangkitkan ialah kegagalan meneliti keputusan toksikologi serta kegagalan menghubungkan keterangan saksi utama dengan bukti forensik.

“Kematian seorang wanita muda berusia 18 tahun dalam keadaan mencurigakan sepatutnya mendorong siasatan paling teliti dan profesional. Namun sebaliknya, bukti menunjukkan kegagalan yang berterusan, ketidakcekapan dan pengabaian prosedur,” kata Roz Mawar.

Terdahulu pada 2019, Mahkamah Tinggi yang ketika itu dipengerusikan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah telah mengetepikan keputusan inkues yang mengklasifikasikan kematian Ivana sebagai “kemalangan” dan memutuskan ia sebagai kematian akibat perbuatan individu yang dikenali atau tidak dikenali.

Sumber: Harian Metro

Related Posts