Kerajaan hormat hak berhimpun, tapi proses demokrasi sepatutnya ikut saluran Parlimen
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan desakan pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui perhimpunan jalanan sebagai tindakan yang lari daripada semangat demokrasi.
Katanya, Kerajaan Madani kekal menghormati hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun, namun tindakan seperti itu tidak akan memberi kesan sekiranya tidak disalurkan melalui proses perundangan yang sah.
“Bila mahkamah kata tak perlu maklumkan kepada polis, kita ikut… mereka minta (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) turun, Anwar dah turunkan harga minyak. Mereka minta Anwar turun, Anwar turunkan tarif elektrik. Masih nak turun lagi?” katanya.
Baca juga:
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
Usul undi tak percaya dibuka luas, tapi Parlimen sunyi
Menurut Saifuddin, pembangkang seharusnya memanfaatkan ruang yang telah diberikan di Dewan Rakyat untuk membawa usul undi tidak percaya jika benar mahu mencabar kedudukan Perdana Menteri.
“Tapi isu pokok yang saya nak sebut ialah kalau pembangkang betul-betul menghormati prinsip demokrasi, saya nak lontarkan dua soalan, mereka hendak lakukan di luar Parlimen atau di dalam Parlimen?”
“Dalam Parlimen, Perdana Menteri dah buka seluas-luasnya peluang dan pembangkang boleh buat usul undi tak percaya.
“Dalam kes ini, Perdana Menteri kata usul pembangkang akan didahulukan, urusan kerajaan akan ditangguh dulu. Tapi sidang Parlimen dah lima hari, sunyi sepi,” katanya.
Jangan cetus keresahan, pelabur sedang perhatikan
Tambah beliau, perhimpunan seperti ini tidak membawa impak sebenar, sebaliknya hanya mencetuskan keresahan dan boleh menjejaskan persepsi pelabur terhadap kestabilan negara.
“Yang ada, riuh rendah kat luar nak berkumpul. Jadi, rakyat boleh tengok sekarang ini, nak pegang prinsip demokrasi atau sebenarnya nak wujudkan keresahan?
“Nak paparkan wajah hodoh, nak bagi isyarat buruk kepada potensi pelabur, ketika ekonomi sedang mula bergerak ke arah yang lebih baik,” ujarnya.
Sumber: Bernama








