Konflik yang berlaku di Gaza masih belum menemui titik noktah. Selain kehilangan pekerjaan dan tempat tinggal, Gaza kini berdepan pula dengan krisis makanan yang semakin kritikal.
Serangan berterusan telah memusnahkan perkhidmatan penting dan saluran bekalan utama, menyebabkan ratusan ribu penduduk berisiko kebuluran selepas bantuan kemanusiaan ke Gaza disekat oleh Israel sejak 2 Mac lalu.
Prihatin dengan nasib penduduk Gaza, seorang lelaki dari Mesir mengambil inisiatif mengisi bahan mentah ke dalam botol plastik, dengan harapan ia dapat sampai ke wilayah itu.
Menerusi video yang tular, lelaki berkenaan dilihat melemparkan botol-botol berisi biji-bijian dan tepung ke laut sambil membaca doa.
“Maafkan kami, saudara-saudara di sana. Ya Allah, sebagaimana Engkau telah membawa Nabi Nuh di lautan, di tengah gelombang sebesar gunung, sampaikanlah ini daripada kami kepada Gaza.
“Ya Allah, sesungguhnya laut ini adalah salah satu daripada tentera-Mu. Bawalah ini daripada kami kepada Gaza. Ya Allah, wahai Zat yang membelah laut untuk Nabi Musa, sampaikanlah botol ini kepada Gaza,” katanya.
Baca juga:
- Gorila Kiyomasa tular, muka ‘overthinking’ lepas bergaduh dengan pasangan
- Selat Hormuz ditutup sepenuhnya susulan serangan AS
- Gempa 7.8 Magnitud: Video bangunan sekolah di Mindanao, Filipina runtuh tular
Lelaki itu turut mengajak orang ramai melakukan perkara yang sama sebagai tanda solidariti terhadap penduduk Gaza.
Susulan video berkenaan, ramai penduduk Mesir dilaporkan turut ‘turun padang’ melakukan tindakan serupa.











