Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jenama minuman tempatan, Tealive mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada salah seorang pelanggannya susulan pendedahan tidak sengaja maklumat peribadi dalam satu proses maklum balas pelanggan yang melibatkan salah satu cawangannya.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak pengurusan Tealive, mereka mengakui telah dimaklumkan tentang satu situasi yang melibatkan seorang pelanggan yang memberikan maklum balas terhadap pengalaman perkhidmatannya di salah sebuah outlet Tealive.
Mengikut prosedur, kes tersebut telah diserahkan kepada Pengurus Kawasan untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun, dalam proses tersebut, tangkap layar maklum balas pelanggan yang mengandungi maklumat peribadi telah dikongsikan secara tidak sengaja kepada pasukan outlet berkenaan.
“Seorang kakitangan kemudiannya telah menghubungi pelanggan tersebut secara terus. Tindakan ini adalah satu pelanggaran terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) kami dan tidak mencerminkan nilai yang kami pegang sebagai jenama,” jelas kenyataan itu.
Baca juga:
- Dituduh ‘cekik darah’ caj RM30 baiki kalkulator, lelaki tampil beri penjelasan
- Dua pelajar Korea Selatan curi tumpuan, raih keputusan cemerlang SPM
- Tiga lelaki ditahan dalam kes rusuhan bersenjata
Tealive menegaskan bahawa mereka sentiasa menghargai maklum balas pelanggan kerana ia memainkan peranan penting dalam menambah baik mutu perkhidmatan. Justeru, insiden ini amat dikesali meskipun disifatkan sebagai kes terpencil.
“Kami ingin memberi jaminan bahawa kami komited untuk melindungi data peribadi pelanggan dan memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang dan peraturan yang berkaitan,” katanya lagi.
Tealive turut memaklumkan bahawa mereka telah menghubungi pelanggan terbabit secara peribadi untuk menyampaikan permohonan maaf secara langsung, dan kini tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Susulan insiden ini, Tealive telah mengambil inisiatif melaksanakan tiga langkah segera iaitu dengan menjalankan semakan serta-merta dan memperkukuh prosedur dalaman untuk mencegah kejadian serupa, melaksanakan latihan berterusan kepada semua kakitangan bagi menekankan kepentingan privasi dan penjagaan pelanggan.
Selain itu, satu siasatan menyeluruh akan dijalankan terhadap semua pihak yang terlibat, dan tindakan tatatertib akan diambil jika perlu.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai luahan seorang lelaki yang mendakwa maklumat peribadinya telah dibocorkan selepas beliau membuat aduan kepada pihak Tealive.








