Laporan: Tentera Israel akui guna orang awam Palestin sebagai 'pelindung' | The Reporter

Laporan: Tentera Israel akui guna orang awam Palestin sebagai ‘pelindung’

Tentera Israel bersembunyi di belakang kenderaan tentera dengan latar belakang kawasan Gaza yang musnah.
Gambar hiasan | Kredit: Getty Images

Askar dakwa diarah tembak orang awam termasuk kanak-kanak

Seorang askar Israel tampil mendedahkan pasukannya telah menggunakan dua remaja Palestin sebagai perisai manusia dalam operasi ketenteraan di Gaza.

Dalam pendedahan kepada akhbar Yedioth Ahronoth, askar yang hanya dikenali sebagai ‘N’ mendakwa komandernya telah memberi kebenaran kepada anggota untuk menembak orang awam termasuk kanak-kanak dan warga emas ketika mereka berkawal di luar sebuah hospital.

“Sebahagian daripada mereka bertindak kerana dendam, ada yang ketakutan dan ada juga yang terlalu letih. Bila berada dalam keadaan letih melampau, fikiran tidak lagi berfungsi secara waras,” katanya.

Baca juga:

Diculik & dipaksa masuk bangunan berbahaya

Askar itu turut mendedahkan dua remaja lelaki telah ditahan ketika melalui koridor kemanusiaan. Mereka dibutakan penglihatan, digari dan kemudiannya diarahkan masuk ke bangunan-bangunan yang disyaki mengandungi bahan letupan atau pejuang bersenjata, dijadikan sebagai pelindung hidup bagi tentera Israel.

Tindakan tersebut jelas melanggar undang-undang antarabangsa yang melarang penggunaan orang awam sebagai perisai manusia dalam konflik bersenjata.

“Sebenarnya, kita sedang menyakiti puluhan ribu orang awam termasuk tebusan kita sendiri,” ujarnya, merujuk kepada rakyat Israel yang masih ditahan oleh Hamas.

“Kerajaan menghantar kami ke medan tempur dalam keadaan berbahaya, rakan seperjuangan terkorban dan akhirnya kami sedar lebih banyak kejahatan yang dilakukan berbanding kebaikan. Ia membuatkan kami rasa dikhianati.”

Semakin ramai tentera Israel tampil bersuara

Pendedahan ini menambah kepada deretan laporan yang mendakwa jenayah perang telah dilakukan oleh tentera Israel di Gaza. Akhbar Haaretz sebelum ini menyiarkan beberapa siasatan melibatkan pengakuan askar, termasuk dakwaan mereka diarahkan untuk menembak orang awam tanpa sebab munasabah.

Tahun lalu, rakaman video bocor yang disiarkan oleh Al Jazeera memaparkan seorang lelaki Palestin separuh bogel dengan tangan terikat di belakang dipaksa tentera Israel mengesan bahan letupan. Sementara itu, organisasi hak asasi manusia Israel, B’Tselem, turut merekodkan ratusan kes penggunaan rakyat Palestin sebagai perisai manusia oleh tentera negara itu.

Sumber: The New Arab

Related Posts