'Cuma nak hidup tenang, saya masih memandu Axia' | The Reporter

‘Cuma nak hidup tenang, saya masih memandu Axia’

Wanita berkenaan memilih hidup tenang berbanding tertekan dengan kos tinggi.
Gambar hiasan Freepik

Sesetengah individu memilih untuk menikmati keselesaan selepas penat bekerja, menjadikan kemewahan sebagai ganjaran kepada diri sendiri. Namun, ada juga yang lebih selesa hidup sederhana bukan kerana tidak mampu, tetapi kerana bijak merancang dan memikirkan masa depan yang tidak menentu.

Seorang wanita di Thread tampil berkongsi kisah tentang pilihan hidup yang sederhana tetapi menyelamatkan dirinya dan keluarganya di saat paling mencabar.

“10 tahun lalu, saya beli Axia G Spec. Ambil pinjaman penuh. Gaji bersih masa tu sekitar RM3,500. Saya asingkan 15% pendapatan bulanan untuk urus semua dari tayar, bateri, servis, insurans sampai ke bayaran bulanan,” katanya.

Keputusan beli kereta inilah yang memberi ruang nafas luar biasa kepada dirinya. Tak lama selepas itu, anaknya disyaki mengalami autism ringan dan kelewatan pertuturan (speech delay).

“Saya berhenti kerja sebab stress. Lepas 8 bulan, kerja balik. Stress lagi, berhenti lagi. Dalam tempoh dua tahun, macam-macam berlaku,” kongsinya.

Namun walaupun tanpa pekerjaan tetap ketika itu, tiada satu pun hutang tertunggak termasuk pinjaman rumah. Selepas lebih dua tahun, hidupnya lebih stabil. Masih memandu Axia, tetapi sedang menghampiri matlamat menyimpan bersamaan 12 bulan gaji.

“Sebab saya ada simpanan. Tak pernah pinjam duit sesiapa. Semua bayaran jalan seperti biasa. Memang simpanan habis, tapi saya tak menyesal. Saya mula balik dari kosong umur 33 tahun.

“Bila dah capai nanti, saya nak mula kumpul emas pula. Kita tak tahu apa akan jadi esok. Tapi bila ada simpanan, sekurangnya kita ada pilihan,” katanya.

Baca juga:

Kisahnya bukan sekadar tentang simpanan atau kereta murah. Ia juga tentang bagaimana dia gunakan ‘ruang’ yang ada untuk fokus kepada apa yang paling penting iaitu anak dan kesihatan mental.

“Masa kali kedua saya berhenti, saya mula terapi, jumpa pakar psikiatri dan makan ubat. Masa tu saya didiagnosis ADHD. Saya ambil masa untuk pulih dan kenal diri. Paling best, saya dapat luangkan masa dengan anak saya, Maryam. Sampai sekarang dia masih sebut betapa best masa saya tak kerja dulu.

“Lain orang lain impian. Tapi saya cuma nak hidup tenang. Bila ada simpanan, kita tak tertekan masa diuji,” jelasnya.

Related Posts