Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menepis spekulasi bahawa Tan Sri Abdul Hadi Awang akan berundur daripada jawatan Presiden PAS, sambil menegaskan dalam sejarah parti itu, kepimpinan utama lazimnya dikekalkan sehingga ke akhir hayat.
Menurutnya, tidak timbul isu sama ada Abdul Hadi mahu berundur atau tidak kerana tiada tanda-tanda beliau akan meninggalkan jawatan tersebut, meskipun terdapat spekulasi mengenai tahap kesihatannya.
“Daripada pemerhatian kita secara dekat, sepatutnya tak timbul isu Tok Guru tak nak bertanding. Tak pernah ada (isu berundur dari jawatan presiden), cuma andaian pihak tertentu yang mungkin nampak Tok Guru tak sihat,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.
Baca juga:
- ‘PAS wajar diberi laluan terajui jawatan PM’ – Isham Jalil
- UMNO kekal sokong Kerajaan Perpaduan hingga PRU akan datang
- ‘Malaysia tidak perlukan Rashid Maidin 2.0’ – Pemuda MCA
Spekulasi ini timbul menjelang pemilihan parti dan muktamar PAS di Kedah pada September ini, selepas beberapa kenyataan keras oleh pemimpin kanan PAS, termasuk melalui pertubuhan Geng Ustaz yang mempertahankan kepimpinan Abdul Hadi. Presiden Geng Ustaz, Ahmad Dusuki Abd Rani, bahkan melabelkan pihak yang mahu “melanggar presiden” sebagai “syaitan-syaitan dalam kalangan manusia dan jin”.
Mengapa tak timbul isu Hadi berundur?
Jelas Takiyuddin, amalan dalam PAS tidak meletakkan had penggal kepada jawatan tertinggi. Beliau mencontohkan Allahyarham Datuk Fadzil Noor yang menjadi presiden hingga meninggal dunia pada 2002, serta Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menjadi Mursyidul Am hingga ke akhir hayatnya pada 2015.
“Dalam Islam ini, selagi kita mampu, kita terus berjuang untuk Islam,” katanya.
Beliau turut mengaitkan ketahanan Abdul Hadi dengan konsep kelonggaran dalam ibadah solat yang membenarkan pelaksanaan mengikut kemampuan. “Kalau kita tak boleh berdiri, boleh duduk; tak boleh duduk, kita tidur (berbaring). Jadi itu konsep yang diambil Tok Guru.”
Tambah Takiyuddin, tiada keperluan untuk perubahan kepimpinan tertinggi PAS ketika ini dan yakin jawatan presiden dan timbalan presiden akan kekal tanpa saingan, memandangkan calon perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 20 pencalonan untuk layak bertanding.








