Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tidak akan terjejas walaupun sembilan Ahli Parlimen PKR mengambil keputusan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.
Menurut Datuk Seri Ahmad Maslan, kerajaan perpaduan kekal stabil kerana masih mempunyai 153 kerusi di Parlimen, jauh melebihi majoriti mudah yang diperlukan.
“Jika sembilan atau 11 Ahli Parlimen PKR mengumumkan keluar parti dan menjadi Ahli Parlimen bebas, kerajaan PH tetap utuh dan jawatan Anwar sebagai Perdana Menteri tidak terjejas,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Baca juga:
- ‘Saya menentang mana-mana kerajaan tebuk atap’ – Dr Akmal Saleh
- Sim gesa BN Negeri Sembilan hormati objektif penubuhan Kerajaan Perpaduan
- PN Negeri Sembilan sedia bekerjasama dengan BN
Rafizi & Nik Nazmi tidak akan lompat parti?
Ahmad turut yakin dua pemimpin utama PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad tidak akan berpaling tadah kerana mereka lebih mementingkan kestabilan negara daripada kepentingan peribadi.
“Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi (bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) berjiwa besar dan mengutamakan kestabilan negara. Mereka sayangkan kestabilan serta tidak mahu negara kerugian berikutan keadaan politik tidak stabil,” ujarnya lagi.
Ahmad berkata, kedua-dua mereka pastinya enggan mengulangi ketidakstabilan politik yang berlaku antara 2018 hingga 2022, apabila pertukaran Perdana Menteri berlaku beberapa kali dan menjejaskan ekonomi negara.
Beliau mengulas selepas 11 Ketua Cabang PKR Kedah dan 19 Ketua Cabang Johor menggesa agar keahlian sembilan Ahli Parlimen PKR digantung serta-merta kerana mengadakan sidang media menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pelantikan dalam badan kehakiman.








