Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia diberikan masa selama sebulan oleh Amerika Syarikat (AS) untuk mengemukakan maklum balas berhubung pengenaan tarif import baharu yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump.
Menurut Anwar, perkara itu disampaikan oleh Setiausaha Negara AS, Marco Rubio semasa lawatan rasmi beliau ke Parlimen semalam. Rubio memaklumkan AS bersedia mendengar dan mempertimbangkan pandangan Malaysia, memandangkan kedudukan negara sebagai antara rakan dagang terpenting mereka di rantau Asia Tenggara.
“Rubio menyatakan surat itu surat secara umum, tapi (Malaysia) masih mempunyai waktu selama satu bulan untuk berunding. Beliau juga tahu Malaysia adalah negara berdagang yang utama dengan AS di rantau ini dan dia akan beri pertimbangan dan kemukakan pandangan kita,” kata Anwar memetik laporan Harian Metro.
Baca juga:
- Sanusi tegas tolak Langkawi jadi Wilayah Persekutuan
- Gara-Gara hutang, pelajar 13 Tahun cedera dipukul sekumpulan remaja di Pekan
- ‘Cadangan kembalikan Dara, Amoi, Kelat wajar dipertimbangkan dengan serius’ – Arthur
Apa impak tarif baharu terhadap eksport Malaysia?
Washington baru-baru ini mengumumkan kenaikan tarif sebanyak 25 peratus ke atas kesemua produk buatan Malaysia yang masuk ke pasaran AS, berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025. Langkah ini lebih keras berbanding tarif 24 peratus yang diumumkan pada April lalu dan tidak mengecualikan sebarang sektor.
Anwar menekankan isu ini memberi kesan langsung terhadap hubungan dagang dua hala dan kestabilan ekonomi serantau, justeru ia menjadi agenda utama semasa pertemuan dengan Rubio.
Malaysia kekal berkecuali, tidak tunduk tekanan kuasa besar
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri turut menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan geopolitik dan akan terus mengamalkan dasar berkecuali.
“AS masih menganggap hubungan dengan Malaysia penting dan juga mahu kekal malah meningkatkan kerjasama bersama dengan ASEAN dan memahami pendirian kita untuk berbaik dan berdagang dengan semua negara.
“Ini penting kerana banyak anggap bahawa kita (Malaysia) harus memilih mana-mana (pihak). Tidak. AS adalah rakan dagang yang penting, hubungan kita dengan China dan negara ASEAN serta negara lain itu akan kita tingkatkan untuk menjamin kepentingan rakyat dan faedah kepada negara,” jelasnya.
Rubio kini berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan beberapa mesyuarat berkaitan dari 8 hingga 11 Julai. Ini juga merupakan lawatan rasmi pertamanya ke Asia sejak dilantik sebagai Setiausaha Negara awal tahun ini.
Sumber: Harian Metro








