Kes Amang seksual bukan fizikal: CEO Batu mengaku tidak bersalah | The Reporter

Kes Amang seksual bukan fizikal: CEO Batu mengaku tidak bersalah

CEO Batu mengaku tidak bersalah atas tuduhan kes amang seksual bukan fizikal
Gambar: UTUSAN/SYAKIR RADIN

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pempengaruh media sosial, Muhamad Iqbal Muhamad Nor atau lebih dikenali sebagai CEO Batu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun pada Mei lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan amang seksual bukan fizikal dengan niat untuk dilihat oleh mangsa di sebuah unit kediaman di Batu Caves, Gombak pada jam 1.16 pagi, 16 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Baca juga:

Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan. Bagaimanapun, peguam tertuduh, Mohd Aniq Rafih memohon jumlah lebih rendah iaitu RM6,000 kerana anak guamnya hanya berpendapatan RM3,000 sebulan sebagai pempengaruh.

“Pendapatan tertuduh turut terjejas apabila akaun media sosialnya disekat dan telefon pintarnya dirampas pihak polis. Tambahan pula, dia turut menjaga datuknya yang sakit,” katanya.

Jaminan dikurangkan kepada RM6,000

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan syarat tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Ogos depan bagi penyerahan dokumen.

Terdahulu, CEO Batu menjadi perhatian selepas penyanyi dan pempengaruh Caprice mendedahkan dakwaan gangguan seksual terhadap seorang remaja bawah umur, termasuk mesej berunsur lucah yang dihantar tertuduh kepada mangsa.

Sumber: Harian Metro

Related Posts