Enam sekeluarga termasuk seorang bayi berusia enam bulan yang ditemukan maut dalam kereta yang terjunam ke dalam Sungai Korok, dipercayai berusaha keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri namun gagal.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, kesemua mangsa ditemukan berada di bahagian tempat duduk belakang kereta jenis Proton Saga Iswara yang tenggelam sepenuhnya di dasar sungai.
“Ketika operasi menyelamat dijalankan, semua mangsa ditemui berkumpul di tempat duduk belakang. Kami percaya mereka cuba keluar tetapi tidak berjaya,” katanya.
Baca juga:
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
- Filem Konspirasi didakwa henti tayangan, Sarimah Ibrahim luah rasa kecewa
Mangsa dikenalpasti sebagai Muhammad Azim Izat Ishak, 32; isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31; serta empat anak mereka Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7; dan Tuah Haidar, enam bulan.

Menurut Ahmad Aminuddin, pasukan penyelamat terpaksa memecahkan cermin dan memotong bahagian badan kereta bagi mengeluarkan kesemua mangsa.
“Jasad yang berada dalam air untuk tempoh lama akan mengembang, sekali gus menyukarkan pengeluaran melalui pintu biasa. Oleh itu, kami terpaksa pecahkan cermin belakang dan potong struktur kenderaan,” jelasnya.
Tambah beliau, jarak antara lokasi kereta tenggelam dan tebing sungai hanya sekitar satu meter, manakala kedalaman sungai dianggarkan enam meter dengan kelebaran kira-kira 7.6 meter.
“Operasi tidak terlalu sukar kerana kereta sudah terapung dan boleh ditarik ke tebing,” katanya lagi.
Terdahulu, kehilangan pasangan suami isteri bersama empat orang anak mereka disedari apabila gagal dihubungi keluarga mereka selepas bermalam di rumah ahli keluarga di Taman Aman sejak pagi Sabtu.
Sumber: Sinar Harian









