Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sebelum ini, tular kisah menyentuh hati mengenai seorang bapa yang membawa anak istimewanya mendaki Bukit Fraser dengan menaiki basikal. Momen indah yang dirakam ketika itu meraih perhatian ramai yang kagum dengan kasih sayang dan usaha gigih bapa tersebut demi menggembirakan anak perempuannya.
Terbaharu, lelaki yang dikenali sebagai Wira Sudepja Rabu kembali mencuri tumpuan netizen apabila membuat satu permintaan menyentuh hati menerusi kumpulan Facebook Edit Apa Hari Ini. Dalam hantaran tersebut, Wira memohon bantuan ahli kumpulan untuk mengedit gambar atau video yang memaparkan dia dan anaknya, Dihan, ‘berlari bersama’.
“Boleh ke edit anak syurga saya berlari sebelah sambil pegang tangan saya juga?
“Anak syurga saya terlantar sepenuhnya dan kerap saya bawa berlari serta berbasikal. Cuma ada rasa teringin andai benar-benar dapat berlari bersama. Moga-moga kami dapat lakukannya di sana nanti… Aamiin,” tulisnya.

Luahan ikhlas itu nyata menyentuh hati ramai. Ruangan komen dipenuhi dengan usaha netizen yang cuba memenuhi permintaan Wira. Masing-masing mencipta suntingan gambar dan video mengikut kreativiti tersendiri.
Tidak hanya menyentuh perasaan netizen, hasil suntingan tersebut turut membuatkan Wira berasa sebak. Ia menjadi satu penghargaan besar buat seorang bapa yang tidak pernah lelah memberi kasih kepada anak istimewanya.




