Seorang penghantar makanan (Grab) warga Singapura, Afiq Zayany, menjadi perhatian selepas berkongsi bagaimana dia mampu meraih pendapatan mencecah $6,000 (kira-kira RM21,120) sebulan. Pendapatan itu cukup untuk membolehkan Afiq tinggal selesa di sebuah vila dua tingkat bernilai sekitar RM1.4 juta di Johor Bahru.
Menurut Afiq dalam video di saluran YouTube miliknya, Ringgit & Dollars, dia lazimnya menjana sekitar $200 (RM704) sehari, hasil daripada menghantar pesanan di Singapura.
“Kalau nak bukti, saya akan tunjukkan bukti,” katanya sambil menunjukkan tangkap layar pendapatan bagi minggu pertama Jun.
Afiq yang sebelum ini bekerja sebagai ejen insurans, menjelaskan rutin hariannya bermula seawal jam 7 pagi dan berakhir sekitar 2 petang.
“Jadi itu kira-kira enam hingga tujuh jam bekerja untuk $200 (RM704). Itu hampir $30 (RM105) sejam,” katanya yang mengakui disiplin adalah kunci kejayaannya.
Bagaimana Afiq kekal konsisten menjana pendapatan lumayan?
Bagi Afiq, penetapan matlamat dan jadual kerja yang tetap amat penting. Beliau menetapkan sasaran harian, mingguan dan bulanan, selain tidak mengambil cuti kecuali benar-benar perlu.
“Hujan atau panas, saya tetap akan bekerja. Saya tetapkan sasaran harian, mingguan dan bulanan untuk dicapai dan saya pastikan saya capai sasaran itu,” jelasnya.
Walaupun kerjaya sebagai penghantar makanan ada cabaran tersendiri, Afiq menganggap semua itu lumrah. Pernah beberapa kali motosikalnya mengalami kerosakan sehingga menjejaskan pendapatan, namun dia tetap positif.
“Kos membaiki motosikal dan juga kos kerana tidak dapat bekerja memang buat saya rasa sedikit kecewa, tapi itulah lumrah kerja penghantar makanan,” katanya kepada AsiaOne.

Afiq menggunakan skuter Yamaha XMax dengan kos bulanan sekitar 460 dolar Singapura (RM1,618) bagi bayaran pinjaman dan penyelenggaraan. Untuk minyak pula, dia hanya membelanjakan kira-kira 6 hingga 7.50 dolar Singapura (RM20 hingga RM25) sehari.
“Kalau nak buat Grab, motosikal yang baik memang penting. Ia dapat menjimatkan kos penyelenggaraan dan kos kerosakan. Selain itu, motosikal juga perlu sentiasa dijaga,” pesan Afiq.
Selain cabaran, Afiq juga berkongsi detik manis seperti apabila pelanggan meninggalkan air minuman dan snek untuk penghantar makanan.
“Saya rasa mereka sangat menghargai kami dan sangat prihatin,” tambahnya.
Rahsia utama kejayaan: disiplin dan konsistensi

Afiq tidak menafikan fleksibiliti kerja sebagai penghantar makanan memang menarik, namun disiplin tetap menjadi keutamaan.
“Disiplin sangat penting dalam apa sahaja yang dilakukan. Sebagai penghantar makanan, perlu bangun tepat pada masanya dan memulakan kerja mengikut jadual,” katanya.
Afiq menetapkan sasaran pendapatan bulanan dan menganggap segala pendapatan tambahan sebagai bonus.
“Apa saja lebih daripada itu, saya anggap ia bonus,” katanya sambil menekankan kerja keras perlu diteruskan walaupun hujan atau panas terik.
“Saya bukan nak berlagak, cuma ingin berkongsi pengalaman dan menunjukkan bahawa perkara ini memang boleh dicapai,” ujarnya mengakhiri perkongsian.
Sumber: AsiaOne








