Seorang lelaki warga emas didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas kesalahan mencubit lengan seorang kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan.
Tertuduh, Ismail Hadi, 67, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret.
Memetik laporan Kosmo, Ismail didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dalam sebuah surau di Seksyen 26, di sini kira-kira pukul 8.45 malam pada 31 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Shalehhuddin Salam dan Ainul Farihah Azizi yang mewakili tertuduh dalam rayuan mitigasi memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan ini merupakan kesalahan pertama tertuduh yang mempunyai tujuh orang anak selain mengambil kira faktor dia sudah tidak bekerja.
“Anak guam kami tidak lagi bekerja. Jadi, kami mohon hukuman ringan berupa denda minimum,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Aliaanisa Khairus Masnan bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.








