Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengumumkan penamatan kontrak YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi FELDA pada 30 Jun 2025.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, FELDA memaklumkan bahawa tugas rasmi terakhir Ahmad Shabery adalah mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi FELDA pada jam 2.30 petang semalam.
“Sepanjang dua tahun memimpin FELDA, beliau memainkan peranan besar dalam memperkukuh ekosistem antara FELDA dan anak-anak syarikatnya. Antara pencapaian utama sepanjang kepimpinannya termasuk mempercepatkan proses penyahsenaraian FGV Holdings Berhad sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan dan pengukuhan ekosistem FELDA.
“Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk mengembalikan keyakinan rakan strategik selain mempertingkatkan imej serta prestij FELDA. Gagasan ‘Segalanya FELDA’ yang diperkenalkan oleh beliau turut menjadi teras kepada penyatuan organisasi dan komuniti FELDA,” tulis kenyataan itu.
FELDA turut merakamkan penghargaan tertinggi atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh Ahmad Shabery sepanjang tempoh beliau memegang amanah sebagai Pengerusi agensi tersebut.
Ahmad Shabery telah dilantik sebagai Pengerusi Felda pada Julai 2023 menggantikan Tan Sri Idris Jusoh yang menamatkan perkhidmatannya pada 30 Jun 2023.








